WADAH Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dilihat mampu bertindak sebagai kerangka ekonomi baharu Malaysia bagi mengangkat semula martabat negara.
Ia juga berperanan membantu menstruktur semula ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara, termasuk sebagai asas perancangan yang bakal diperincikan dalam Belanjawan 2024 akan datang.
Mengambil kira keadaan semasa, satu survei telah dijalankan oleh laman twitter @MalaysiaMDK bagi meninjau pandangan rakyat Malaysia berhubung rancangan belanjawan negara.
Berdasarkan hasil tinjauan yang dikongsikan baru-baru ini, rata-rata rakyat dengan peratusan sebanyak 80 peratus sedia maklum akan rancangan belanjawan yang diperuntukkan oleh kerajaan.
Bagaimanapun, daripada jumlah itu, hanya 30 peratus yang berpuas hati dengan peruntukan tersebut.
Sementara itu, menjawab soalan berhubung sektor yang sering diabaikan oleh pemerintah, kebanyakan responden memilih bidang kesihatan dengan 24 peratus, manakala pendidikan (22.5 peratus).

Rata-rata rakyat dengan peratusan sebanyak 80 peratus sedia maklum akan rancangan belanjawan yang diperuntukkan oleh kerajaan.
Sedangkan hakikatnya, kedua-dua sektor berkenaan penting dalam mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian rakyat untuk kesan jangka masa panjang.
Justeru, dengan mengambil kira cabaran semasa dan akan datang, peruntukan lebih besar seharusnya disediakan menerusi rancangan belanjawan kelak bagi sektor kesihatan serta pendidikan.
Seterusnya berdasarkan tinjauan tersebut juga, sebanyak 16 peratus responden berpendapat bahawa pembangunan ekonomi masih lagi kurang diberi perhatian oleh kerajaan.
Selain itu, keselamatan makanan dan pengangkutan berkongsi peratusan yang sama iaitu 6.5 peratus, yang mana keadaan itu menunjukkan tahap keselamatan makanan negara dikatakan masih berada di tahap yang kurang memuaskan.
Bagaimanapun, hasil survei itu turut mendapati keadaan infrastruktur, pertahanan dan sektor kebudayaan negara dilihat tidak terlalu membimbangkan penduduk Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
