Pakar ekonomi yakin objektif Ekonomi Madani mampu dicapai dalam tempoh 10 tahun


  • Massa
  • Jumaat, 28 Jul 2023

Kerajaan berhasrat meningkatkan penyertaan tenaga buruh wanita daripada 55.5 peratus kepada 60 peratus. — Gambar hiasan

KERANGKA kerja Ekonomi Madani adalah jelas, komprehensif dan menetapkan landasan yang betul ke arah membina Malaysia yang lebih baik, kata pakar ekonomi.

Mereka berkata, pelan tindakan yang merangkumi rancangan meletakkan Malaysia sebagai satu daripada 30 kuasa ekonomi dunia dalam tempoh 10 tahun akan datang, boleh dicapai dengan kemahuan politik yang kuat selain sokongan daripada kerajaan, swasta dan rakyat.

Pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Prof Dr Geoffrey Williams berkata, kerangka kerja Ekonomi Madani adalah jelas dan berbeza daripada pendekatan sebelumnya.

Beliau turut menyifatkan ia sebagai 'satu set sasaran yang jelas dan bukannya senarai projek', selain membantu orang ramai memahami matlamat dan tema utama Kerajaan Perpaduan.

"Tujuh sasaran rangka kerja itu juga pragmatik dan boleh dicapai dengan sempurna dalam tempoh 10 tahun atau lebih awal," katanya.

Pelan Madani

Tujuh misi utama Ekonomi Madani.

Beliau berkata, aspek penting dalam kerangka kerja itu memberi tumpuan kepada elemen utama ekonomi yang berjaya, termasuk berdaya saing, kemudahan menjalankan perniagaan dan memerangi rasuah.

Katanya, penambahbaikan aspek pendapatan tenaga kerja dan meningkatkan penyertaan wanita juga antara elemen utama dalam penglibatan sosioekonomi dan pemerkasaan seperti menangani ketidaksamaan, membuka peluang dan menangani kos sara hidup.

Geoffrey berkata, beliau juga mahu melihat teras dasar yang direka untuk menghapuskan 'orang tengah', selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang ingin menghapuskan pencarian sewa (rent-seeking).

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie berkata, rangka kerja Ekonomi Madani menawarkan penjelasan tentang matlamat negara, strategi luas yang membolehkan matlamat dicapai,

Bagaimanapun katanya, kerajaan perlu membina naratif makroekonomi yang berpandangan jauh untuk meyakinkan rakyat Malaysia secara domestik dan pelabur asing bahawa Malaysia akan bina semula negara ke arah lebih baik.

SERC executive director Lee Heng Guie, addressing the media during the media briefing on the quarterly economy tracker.  Starpic by Afique Yusoff/17.01.2019

Lee Heng Guie

Daripada tujuh penanda aras yang kerangka kerja Ekonomi Madani sasar untuk dicapai dalam tempoh 10 tahun, Heng Guie berkata, beberapa sasaran boleh dilaksanakan, seperti meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita daripada 55.5 peratus kepada 60 peratus.

“Menetapkan sasaran tersebut adalah bagus, namun ia mestilah realistik dan mampu dilaksanakan.

“Perubahan radikal diperlukan untuk transformasi menjadi negara berdaya saing dan untuk memberikan prospek masa depan yang lebih adil, saksama, mampan serta berdaya tahan.

“Ini memerlukan anjakan asas kognitif, tingkah laku dan minda, termasuk memikirkan semula peranan negara, dimensi pertumbuhan, kecekapan sumber, dan menegakkan keadilan serta memastikan kesaksamaan,” katanya.

Heng Guie menambah, strategi dan inisiatif yang digariskan adalah logik untuk mencapai visi membina Malaysia yang lebih baik melalui penstrukturan semula ekonomi, meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan pelaburan, memulihkan kemampanan fiskal, tadbir urus yang baik, memastikan pertumbuhan inklusif, dan menjana kualiti serta menawarkan pekerjaan dengan gaji lebih baik.

2199076

Penglibatan wanita dalam tenaga kerja negara juga antara fokus Ekonomi Madani.

Dalam pada itu, Pengerusi Pusat Penyelidikan Perniagaan dan Dasar Universiti Pengurusan & Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), Dr Foo Lee Peng memuji salah satu matlamat untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja kepada 60 peratus dalam tempoh 10 tahun.

“Sejak beberapa tahun, terdapat peningkatan ketara dalam tenaga kerja wanita, terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (IKS).

“Bagaimanapun, cuti bersalin bergaji selama 98 hari berkuat kuasa tahun ini menyukarkan PKS menyerap kos operasi perniagaan.

"Mereka menjadi lebih memilih apabila merekrut dan cenderung mengambil pekerja wanita dalam kuantiti kecil," katanya.

Jadi Lee Peng mencadangkan usaha menyeluruh diperlukan, termasuk langkah perundangan dan kawal selia serta program sokongan untuk membantu mereka bagi meningkatkan penyertaan wanita sebagai tenaga kerja.

Perdana Menteri sebelum ini berkata, penyertaan wanita dalam tenaga kerja masih rendah iaitu 55.5 peratus berbanding lelaki pada 80.9 peratus.

1927912

Kerangka kerja Ekonomi Madani memberikan pelan seimbang untuk memacu pembangunan negara dalam landasan betul. — Gambar hiasan

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kerangka kerja Ekonomi Madani membayangkan strategi komprehensif dan seimbang untuk melakarkan Malaysia di landasan pembangunan lebih kukuh dengan merealisasikan serta berusaha menangani cabaran teras negara.

Beliau berkata, strategi yang digariskan untuk pembangunan industri, pendigitalan dan pelaburan dijangka meningkatkan aktiviti ekonomi, menjana pulangan lebih baik untuk perniagaan, serta meningkatkan gaji pekerja dalam kedua-dua sektor swasta dan awam.

Katanya, dasar perlindungan sosial yang digariskan dilihat boleh merapatkan jurang antara wilayah dan masyarakat kerana kerangka kerja tersebut mengambil kira bahawa tumpuan kepada pembangunan ekonomi sahaja boleh membawa kepada lompong tersebut.

"Fokus utama terhadap kesihatan, pendidikan dan perumahan akan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

"Penekanan terhadap tadbir urus yang baik dialu-alukan memandangkan ia juga merupakan kunci kepada merealisasikan Ekonomi Madani," katanya. The Star/ ALLISON LAI dan FATIMAH ZAINAL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram