SEORANG pemilik kedai makanan ringan di Timur China ditahan selepas didakwa meletakkan racun ke dalam produk makanan dijual oleh pesaingnya, sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang jatuh sakit.
Menurut laporan Jimu News, lelaki yang tidak didedahkan namanya itu mengusahakan kedai makanan ringan di wilayah Zhejiang ditahan polis selepas berlakunya insiden keracunan makanan pada Jun lalu berdekatan kedai milik seorang wanita.
Terdahulu, seorang pelanggan dikenali sebagai Li membeli kek daging gulung dari kedai terbabit pada 13 Jun lalu dan mengalami gejala pening dan muntah selepas menikmati juadah makanan tersebut.
Susulan itu, Li yang mengesyaki dirinya mengalami keracunan segera menghubungi polis dan siasatan mendapati sekumpulan pelanggan di premis itu disahkan mengalami keracunan natrium nitrit.
Bahan kimia tersebut yang digunakan di peringkat industri boleh menyebabkan sakit kepala, pening, muntah, pengsan, kesukaran bernafas dan kematian dalam beberapa kes jika ditelan dalam kuantiti banyak.
Kes tersebut masih dalam siasatan pihak polis dan suspek masih berada dalam tahanan. — Agensi
Polis mengenal pasti suspek selepas memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai makanan ringan wanita itu.
Wanita terbabit bertindak memasang CCTV selepas berdepan satu cubaan untuk meracun makanannya sebelum ini dengan dia mengesyaki perbuatan itu membabitkan pemilik kedai yang bersaing dengan perniagaannya.
“Dia (suspek) berusia kira-kira 30 hingga 40 tahun dan mengusahakan kedai berhampiran. Saya rasa dia ingin menguasai semua perniagaan makanan di daerah kami,” kata pemilik kedai wanita yang tidak mahu namanya dikenali kepada Jimu News.
“Saya tidak sangka dia berani mencuba buat kali kedua. Dia tidak sepatutnya berbuat demikian. Perniagaan harus dilakukan melalui persaingan yang sihat," ujar wanita itu lagi.
Ancaman terhadap keselamatan makanan dan skandal kebersihan sudah menjadi kelaziman di China.
Pada awal bulan ini, seorang wanita berusia 35 tahun ditahan kerana menambah cecair bahan pencuci ke dalam sup percuma yang dihidangkan di sebuah restoran di bandar Guangzhou, selatan China.
Minggu lalu, pihak berkuasa penyeliaan pasaran di wilayah Zhejiang, Timur China menutup kedai menjual kacang tanah rebus selepas pelanggan menemui kepala tikus. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram