[VIDEO] Ketagih main 'game', remaja tergamak terajang ibu depan adik lepas telefon kena rampas


  • Benua
  • Khamis, 03 Ogos 2023

Tangkap layar seorang remaja berkelakuan ganas terhadap ibunya selepas telefon bimbitnya dirampas.

GARA-GARA telefon bimbitnya dirampas, seorang remaja berusia 15 tahun tergamak mengasari ibu kandungnya di sebuah stesen kereta api bawah tanah di China.

Kejadian yang dirakam pada 18 Julai lalu itu mencetuskan kemarahan orang ramai dan tular selepas dimuat naik di laman media.

Berdasarkan rakaman tersebut, remaja lelaki yang dikatakan ketagih permainan video telefon pintar, terlebih dahulu dilihat berdiri di hadapan lif bersama ibu dan adik lelakinya di samping bagasi mereka.

Namun, situasi bertukar tegang apabila remaja terbabit secara tiba-tiba mencekik leher ibunya dan menolak wanita itu ke dinding.

Tersentak dengan situasi tersebut, adik lelakinya tampil memberikan bantuan dan menghalang kelakuan abangnya.

"Ibu, ibu, ibu," jerit adik lelakinya seperti didengari dalam video tersebut.

Dia cuba menyelamatkan ibunya dan cuba menarik tangan abangnya. Cuba untuk melawan, namun si ibu kelihatan bergelut untuk menyelamatkan dirinya dalam serangan tersebut.

Tidak lama kemudian, seorang pekerja di stesen terbabit tampil memberikan bantuan dan cuba menenangkan remaja terbabit.

Namun, pemuda berbaju berwarna biru itu kemudiannya terus melakukan serangan di lokasi kejadian.

"Berikan telefon saya semula," kata remaja itu sambil memegang lengan ibunya.

Wanita itu terus mengeluarkan telefon bimbit dan menghempasnya ke lantai. Belum sempat dia ditendang buat kali kedua, petugas stesen menghentikan pergelutan itu.

Insiden berkenaan berakhir apabila seorang pegawai polis tiba di lokasi kejadian dengan remaja terbabit telah diambil siasatan untuk keterangan lanjut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram