[VIDEO] Pelari pecut terlambat dalam sejarah, Menteri Somalia mohon maaf hantar atlet guna 'kabel'


  • Podium
  • Khamis, 03 Ogos 2023

Tangkap layar Nasra berlari dengan kelajuan yang paling perlahan dalam sejarah. — Agensi

MENTERI Belia dan Sukan Somalia, Mohamed Barre Mohamud membuat permohonan maaf secara terbuka pada Rabu selepas seorang pelari pecut wanita negara itu tiba-tiba tular semasa mengambil bahagian dalam kejohanan Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China.

Mohamed Barre turut menegaskan, kementeriannya tidak mengetahui bagaimana atlet yang bernama Nasra Abukar Ali itu dipilih untuk bertanding dalam acara 100 wanita itu.

Sebelum ini, Nasra dikatakan tidak berbakat sebagai seorang pelari dan difahamkan dia menyertai kejohanan itu kerana mempunyai hubungan dengan pengerusi Persekutuan Olahraga Somalia.

Atlet berusia 20 tahun itu mengambil masa lebih 20 saat untuk menamatkan perlumbaan 100 meter dan difahamkan dia memecahkan rekod apabila mencatatkan masa paling perlahan dalam acara tersebut.

Kementerian tersebut secara berasingan mengeluarkan kenyataan mengarahkan Jawatankuasa Olimpik Somalia menggantung Pengerusi Persekutuan Olahraga, Khadija Aden Dahir berikutan dakwaan bahawa Nasra adalah saudaranya dan diberi peluang untuk bertanding di temasya itu.

Dalam pada itu, Kesatuan Universiti Somalia pula mendedahkan bahawa mereka tidak menghantar mana-mana pelari ke China pada kejohanan tersebut dan disebabkan itu penyertaan Nasra semakin menimbulkan kontroversi.

Sebuah video mengenai larian perlahan oleh Nasra menjadi tular di media sosial dan Mohamed Barre berkata bahawa persembahan itu memalukan Somalia di mata dunia.

Dalam perlumbaan kelayakannya, Nasra segera ditinggalkan pelari lain dan menamatkan perlumbaan kira-kira 10 saat selepas pemenang, Gabriela Silva Mourao yang mencatatkan masa 11.58 saat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram