SEBUAH zoo yang terletak di timur China menafikan dakwaan bahawa terdapat kemungkinan beberapa ekor beruang matahari yang dipelihara di situ sebenarnya adalah manusia yang mengenakan kostum haiwan tersebut.
Kontroversi itu timbul selepas video memaparkan seekor beruang berdiri di atas kaki belakangnya tular di media sosial baru-baru ini.
Susulan itu, penjaga zoo di Zoo Hangzhou telah mengeluarkan kenyataan bagi pihak Angela, iaitu seekor beruang matahari Malaysia.
“Apabila bercakap tentang beruang, perkara pertama yang terlintas di fikiran ialah sosok yang besar dan kuasa yang menakjubkan. Tetapi tidak semua beruang adalah raksasa dan bahaya. Kami beruang Malaya adalah kecil molek, beruang terkecil di dunia," katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi rakaman yang dikongsikan di media sosial, kelihatan seekor beruang matahari berdiri di atas kaki belakangnya, dengan kaki langsing serta lipatan bulu beruang itu membuatkan ia kelihatan seperti seorang manusia yang menyamar sebagai beruang.
Bagi menangani keraguan orang ramai, jurucakap zoo merakam mesej audio di WeChat dan mengesahkan bahawa haiwan dalam video itu sememangnya beruang matahari yang sebenar.
Selain itu, ujarnya, agak mustahil untuk seseorang boleh bertahan memakai sut beruang dalam suhu musim panas yang terik.
Dalam usaha untuk menepis khabar angin dan memberikan bukti keaslian beruang itu, pihak zoo menganjurkan lawatan untuk wartawan pada hari berikutnya, membolehkan mereka memerhati beruang itu secara lebih dekat.
Beruang matahari, yang kira-kira lebih kurang sama dengan saiz anjing besar, berdiri pada ketinggian maksimum 1.3 meter apabila berada di atas kaki belakang mereka.
Ini berbeza sekali dengan spesies beruang yang lebih besar seperti beruang grizzly yang boleh mencapai ketinggian sehingga 2.8 meter.
Untuk makluman, insiden tersebut bukanlah kali pertama berlaku di zoo negara tersebut.
Sebelum ini, sebuah lagi zoo di China dituduh cuba melepaskan anjing yang dicelup menyerupai serigala atau keldai domestik yang dicat supaya kelihatan seperti kuda belang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram