
BAGI setiap ibu bapa, tiada yang lebih bermakna dalam kehidupan selain daripada mempunyai peluang untuk melihat sendiri kejayaan yang dikecapi oleh anak-anak.
Itulah juga perasaan sama dikongsikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong selepas melihat pencapaian diperolehi seorang pelajar yang mendapat bantuan daripadanya.
Meskipun pelajar tersebut hanya merupakan anak angkatnya, namun Chee Keong yang juga Menteri Kewangan II itu dilihat tidak dapat menyembunyikan kebanggaannya terhadap kejayaan tersebut.
"Hari ini saya gembira sangat dapat foto anak angkat saya Puteri Balqis kat UIA (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Tiga tahun lalu saya janji kat arwah ayahnya, Abang Rano saya akan jaga Puteri Balqis macam anak saya.
"Abang Rano, Puteri Balqis dah masuk universiti, selangkah lebih dekat nak jadi doktor," katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Ahad.
Chee Keong berkata, beliau memberikan layanan yang sama terhadap kesemua pelajar yang dijadikan sebagai anak angkatnya sama seperti anaknya sendiri.
Katanya, perkara itu termasuk dalam hal pemberian insentif terhadap setiap kejayaan yang dicapai.
Chee Keong (kiri) menemani Puteri Balqis untuk membeli tablet sebagai kemudahan bagi melanjutkan pelajaran di universiti.
"Anak-anak angkat semua dapat elaun bulan-bulan. Zaman pandemik, saya beli laptop untuk anak kandung, saya juga beli laptop untuk anak angkat. Saya bagi ganjaran untuk anak kandung dapat keputusan cemerlang, anak angkat saya pun bagi RM100 setiap A dalam SPM. Balqis dapat 8A.
"Sebelum ke UIA, saya tanya Puteri Balqis apa yang diperlu. Dia segan, tapi hati ayah mana tak tahu hasrat anak. Saya beritahu, laptop tu bagi kat adiknya di sekolah menengah.
"Saya beli iPad untuk dia. Hari ini (Ahad) dia hantar foto dia di UIA pakai iPad warna pink tu, saya bangga," tulis Chee Keong pada ciapan sama.
Dalam pada itu, rata-rata daripada warganet melahirkan penghargaan terhadap usaha yang dibuat Chee Keong untuk membantu pelajar yang memerlukan di kawasannya.
Malah terdapat antara mereka yang turut terinspirasi dengan usaha yang dilaksanakannya.
"Suka cara YB beri bantuan. Beri dengan skala yang kecil dan ada update untuk progress dan follow-up. Bukan tabur bantuan merata tempat dengan skala besar, tiada follow-up dan update, dan tak pasti program bantuan berjaya atau tidak dengan sasarannya,"ujar abikhsan.
"Saya dah lama ikuti YB Steven, tanpa mengira kaum dan agama, dia sudah membantu banyak rakyat dalam pelbagai bentuk. Semoga Tuhan merahmati anda," tulis 127_fareez.
"Saya berharap saya juga dapat bantu orang suatu hari nanti," kata mrjiggles87. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram