Kerajaan perkenal semula pelepasan cukai SSPN, libatkan belanja RM250 juta


  • Primer
  • Rabu, 29 Mac 2023

Langkah memperkenalkan semula pelepasan cukai bagi simpanan bersih tahunan dalam SSPN menelan belanja sebanyak RM250 juta.

KERAJAAN bersetuju untuk melanjutkan pemberian pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sehingga 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dibuat berikutan gesaan banyak pihak yang meminta kerajaan mempertimbangkan pelepasan cukai tersebut yang tidak termasuk dalam Bajet 2023.

“Saya bersetuju untuk melanjutkan pengecualian cukai ini sehingga 2024 yang akan memberi manfaat kepada 400,000 pembayar cukai dan menelan belanja kerajaan RM250 juta,” katanya semasa membentangkan Bajet 2023 di Dewan Negara pada Rabu.

KUALA LUMPUR, 29 Mac -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membaca semula Belanjawan 2023 bertemakan 'Membangun Malaysia MADANI' untuk dibahaskan pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini.

--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membaca semula Belanjawan 2023 di Dewan Negara, pada Rabu.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim memaklumkan bahawa bermula tahun ini, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000.

Berdasarkan laporan media, Steven berkata, keputusan itu diambil atas pelbagai sebab.

Susulan itu, terdapat beberapa kepimpinan parti pembangkang dan termasuk ahli Parlimen blok kerajaan mengkritik langkah tersebut dan meminta kerajaan mempertimbang semula keputusan berkenaan.

Pelepasan cukai untuk simpanan pendidikan itu pada mulanya ditawarkan pada kadar RM6,000, sebelum kemudiannya dinaikkan kepada RM8,000 di bawah Bajet 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram