
DI Malaysia, menjadi kebiasaan bagi penganjur mana-mana acara untuk memberikan layanan istimewa kepada mana-mana orang kenamaan yang hadir ke majlis dijalankan.
Perkara ini sememangnya sebahagian daripada budaya masyarakat di negara ini yang memberikan penghormatan kepada mereka yang memiliki peranan atau taraf tertentu dalam kalangan rakyat.
Layanan khas itu antara lain meliputi individu yang mempunyai jawatan di dalam pentadbiran kerajaan yang tentunya memiliki protokol tertentu untuk dipenuhi.
Namun begitu, salah seorang ahli pentadbiran di dalam kerajaan Perpaduan mengambil keputusan untuk lari daripada kebiasaan selepas tampil ke dalam satu acara sastera tanpa diketahui kebanyakan tetamu yang hadir.
Lebih menarik lagi, kehadirannya ke acara itu yang diadakan di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu lalu juga turut tidak disedari oleh penganjur yang juga penulis, Raja Ahmad Aminullah.
Gambar dikongsikan Raja Ahmad menunjukkan Chee Keong (dalam bulatan berwarna hijau) memakai topi dan pelitup muka ketika hadir di acara berkenaan. — Facebook/RajaAhmadAminullah
Individu dimaksudkan ialah Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong.
Berkongsikan mengenai perkara itu, Raja Ahmad berkata, dia hanya menyedari kedatangan Chee Keong selepas Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu memberikan mesej kepadanya untuk menyampaikan hajat.
"Dia tidak memaklumkan keberadaannya, dan rata-rata kami tidak menyedari kehadirannya. Malam tersebut, dia mengirim kepada saya melalui Whatsapp, foto penyair jemputan Datuk Hashim Yaacob (Profesor Emeritus).
"Ia diiringi dengan catatan: 'saya hadir di acara tadi. Sampaikan salam saya pada Prof Hashim Yaacob. Dia VC (Naib Canselor) waktu saya berada di UM (Universiti Malaya). Kami selalu mendengarnya berpuisi waktu itu.'
"Steven Sim, timbalan menteri dalam kabinet Persekutuan. Alangkah bahagianya kalau ramai lagi mereka yang berjawatan boleh santai dan menghadiri acara sastrawi tanpa perlu gendang dan kompang," kongsinya menerusi hantaran di Facebook.
Chee Keong ketika berucap di Parlimen baru-baru ini. — Bernama
Pada hantaran sama, Raja Aminullah turut berkongsikan sebuah gambar yang menunjukkan keberadaan Chee Keong di acara tersebut dengan memakai topi dan pelitup muka.
Chee Keong merupakan antara ahli politik yang dilihat mempunyai kecenderungan terhadap bidang pemikiran dan sastera Melayu dengan beliau antara lain turut menulis sebuah buku bertajuk Hang Tuah Adiwira Bangsa.
Beliau yang merupakan pelajar Sarjana Muda Sains Komputer, UM turut memegang jawatan sebagai Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram