
SEORANG pesara guru berputih mata apabila kerugian sebanyak RM50,000 akibat diperdaya pembantu rumahnya sendiri.
Dalam satu hantaran dari anak mangsa di Facebook, pengguna akaun bernama Liz Kamaruddin itu meluahkan kisah ayahnya menjadi mangsa scam.
Menurutnya, ketika kejadian malang menimpa ayahnya itu, suspek sentiasa berada bersama mangsa bagi membantu menyelesaikan kehilangan wang pencen lelaki berusia 85 tahun itu.
"Dia bersama kami apabila ayah saya mendapat tahu wangnya hilang; apabila kami membuat laporan polis dan apabila ayah saya membuat kad bank baharunya.
"Dia berada di sana untuk menenangkan ayah saya, rupanya selama ini dialah yang mencuri wang itu. Selain mencuri, dia juga meminjam wang kami atas alasan ayahnya meninggal dunia dan memerlukannya untuk pengebumian.
"Kami meminjamkannya wang kerana memikirkan bahawa dia bekerja dengan kami dan akan memotong gaji bulanannya. Rupanya itu adalah tipu daya sahaja," katanya.
Menerusi perkongsian di Facebook, luahan wanita itu mendapat perhatian Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong.
Tidak menunggu lama untuk membantu mangsa, Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berjaya menyelesaikan kes itu dalam tempoh tujuh hari sahaja.
Hantaran dari Steven Sim.
Perkongsian Steven Sim di Facebook pada Ahad menyatakan bahawa kes berkenaan berjaya diselesaikan dalam tempoh yang singkat berkat usaha keras dari Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Lagi satu Liz bagitahu saya, pihak berkuasa lambat sangat nak ambil tindakan. Masa tu musim cuti akhir tahun. Dia risau kalau dilengah-lengahkan nanti scammer confirm akan terlepas.
"Saya segera tinjau dan berjumpa pihak berwajib, termasuk Bank Simpanan Nasional dan Polis Diraja Malaysia untuk bertindak cepat. Mujur, masih ada sinar di sebalik kesedihan.
"Kerjasama antara Kementerian Kewangan, BSN, Lazada, pihak telco, dan pihak polis telah berjaya memberkas scammer tersebut dan berjaya menyelesaikan siasatan dalam masa tujuh hari sahaja," jelasnya.
Steven Sim menjelaskan bahawa suspek mempunyai akses kepada telefon mangsa dan dengan kemahiran teknologi maklumat pembantu itu, lelaki itu berjaya menggodam akaun majikannya.
Tidak cukup dengan itu, suspek juga mempunyai rancangan untuk melarikan diri ke Filipina.
"Si scammer ni memang ada direct access kepada phone Encik Kamaruddin (mangsa), dan telah guna kemahiran IT sehingga berjaya menggodam akaun BSN majikannya itu untuk beli lambakan barang kemas dan emas di Lazada. Dia leburkan RM50,000 dan kemudian bercadang untuk terbang ke Filipina.
"Nasib baik polis kita cekap dan sempat menangkap si scammer pada saat-saat akhir, sebab dia sudah pun membeli tiket kapal terbang dan bersedia untuk larikan diri," tambahnya.
Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu juga memberi pesanan agar orang ramai tidak sewenang-wenangnya mendedahkan kata laluan kepada orang lain.
Bukan itu sahaja, Steven Sim juga menggariskan empat perkara utama yang perlu diteliti dan ditambahbaik segera oleh pihak Bank Negara bagi mengelak kejadian seperti itu berulang.
"Masa saya bertemu dengan Bank Negara, saya telah gariskan empat perkara utama yang perlu diteliti dan ditambahbaik segera iaitu keselamatan (security) - sistem keselamatan yang lebih utuh bagi mengelakkan scam. Kedua, tindak balas (response dan recovery) iaitu tindak balas pantas dari pihak berkuasa pelbagai jabatan dalam menjejaki scam dan memulangkan semula wang kepada mangsa.
"Ketiga ialah jaminan (guarantee) iaitu perkongsian liabiliti antara bank dan pendeposit supaya pihak bank tidak mencuci tangan dan pendeposit terpaksa tanggung kerugian sepenuhnya. Terakhir ialah hukuman (penalty), undang-undang yang lebih tegas terhadap pesalah laku," ujarnya.
Majoriti kini cuba mendapatkan maklumat lebih lanjut daripada pihak polis mengenai siasatan kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram