Empat sekawan dalam perjalanan ke Ipoh rentung lepas kereta terbabas dalam parit


  • 112
  • Isnin, 07 Ogos 2023

Kereta yang dinaiki lima individu itu dipercayai terbabas ke dalam parit di bahu jalan sebelum terbakar.

EMPAT sekawan ditemukan rentung dalam kebakaran melibatkan kereta Proton Saga di Kilometer 220 Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) arah utara berhampiran susur keluar Changkat Cermin, dekat Sitiawan, Perak pada petang Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, Penguasa Kanan Bomba I Sabarodzi Nor Ahmad, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.11 petang, dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kereta yang dinaiki lima individu itu dipercayai terbabas ke dalam parit di bahu jalan sebelum terbakar.

"Selain empat mangsa yang ditemukan rentung, terdapat seorang lagi mangsa ditemukan dalam keadaaan selamat iaitu Shariff Mohammed Sidek Mohammed, 54.

"Berdasarkan maklumat awal yang diterima, kesemua mangsa yang merupakan lelaki tempatan dipercayai bekerja di Lumut dan dalam perjalanan ke Ipoh.

"Lokasi kejadian adalah kira-kira 2 kilometer (km) dari susur keluar Tol Changkat Cermin Lebuhraya WCE," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram