DUA beranak maut selepas kereta dinaiki terbabas sebelum berlanggar dengan dua kenderaan lain di Kilometer 276.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, dekat Nilai, Negeri Sembilan pada pukul 11.30 malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian, kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu mangsa sedang dalam perjalanan dari Kajang menuju ke Melaka.
Katanya, pemandu, Perodua Kancil berusia 30 tahun maut di lokasi kejadian manakala anaknya berumur 2 tahun meninggal dunia pada pukul 7.40 pagi Ahad ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, tayar kereta itu disyaki pecah menyebabkan kenderaan terbabit hilang kawalan dan melanggar besi penghadang pembahagi jalan di lorong kanan.
"Sebuah Perodua Myvi yang berada di lorong kanan tidak sempat mengelak dan dikatakan melanggar Perodua Kancil itu dan Perodua Myvi lain yang berada di lorong kedua," katanya dalam satu kenyataan.
Keadaan Perodua Kancil dipandu mangsa selepas terlibat dalam kemalangan pada Sabtu. — Facebook
Video mengenai kemalangan tersebut turut tular di sosial media memaparkan kereta Perodua Kancil berwarna biru itu yang sedang dipandu di lorong kanan lebuh raya tersebut sebelum ia tiba-tiba terbabas dan berlanggar dengan kenderaan lain.
Abdul Malik berkata, dua lagi mangsa yang berada dalam kenderaan sama iaitu isteri mangsa, 27 dan seorang lagi anak berusia lima tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah.
"Dua pemandu dan seorang penumpang kenderaan lain mengalami kecederaan ringan," katanya yang memaklumkan mangsa cedera dikejarkan ke HTJ dan Hospital Kajang untuk menerima rawatan manakala mangsa yang maut dibawa ke HTJ bagi proses bedah siasat.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta hubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019- 4611794. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram