Adik OKU sumber inspirasi kakak jadi cikgu, kini mengajar kanak-kanak istimewa di Kanada


Elena (kanan) mula menceburi bidang pendidikan khas ketika mengajar Bahasa Inggeris di Pannasastra International School, Phnom Penh pada 2016.

KEADAAN ahli keluarga yang merupakan individu orang kurang upaya (OKU) mendorong seorang wanita untuk mengajar kanak-kanak istimewa supaya mereka diberi layanan sama seperti insan lain.

Elena Badrul, 34, memaklumkan adiknya, Zulkarnain Badrul, 30, menghidap autisme, sindrom Down dan Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) sejak lahir.

Oleh itu, anak kelahiran George Town, Pulau Pinang itu nekad untuk menceburi bidang pendidikan khas bagi memastikan kanak-kanak atau golongan sama seperti adiknya itu tidak ketinggalan serta tercicir dalam pelajaran.

"Saya membesar dengan adik dan dikelilingi dengan kanak-kanak sepertinya membuatkan saya rasa selesa dan ingin bekerja dengan mereka kerana tidak banyak kemudahan atau kelebihan disediakan buat mereka.

"Banyak tempat masih kurang peka dengan golongan sebegini dan untuk saya, saya tidak mahu mereka ketinggalan," katanya kepada Majoriti.

Elena yang mempunyai kelulusan dalam Ijazah Sarjana Sastera dalam Pendidikan Khas dari University of Notthingham kampus Semenyih, Selangor itu mula memasuki dunia pendidikan apabila mengajar Bahasa Inggeris di Pannasastra International School, Phnom Penh, Kemboja selepas tamat pengajian pada 2016 hingga 2018.

Namun selepas berkahwin dengan suaminya ketika 2018, dia berhijrah ke Kanada dan seterusnya bekerja sebagai guru bahasa Inggeris di Ateliers de conversation anglaise (ACA) di Quebec sebelum berkhidmat di Inukjuak – Innalik School, Quebec untuk mengajar kanak-kanak istimewa sehingga kini.

Menurutnya, tidak banyak perbezaan antara mengajar kanak-kanak istimewa di kedua-dua negara berkenaan, selain daripada faktor jurang bahasa.

WhatsApp Image 2023-07-14 at 10.01.14 PM

Elena ketika di Inukjuak, Nunavik, Kanada.

"Di Quebec, budayanya berbeza daripada kawasan lain dan mereka mengamalkan sistem serta budaya tersendiri.

"Bagaimanapun, salah satu cabaran terbesar ketika di sana adalah bahasa kerana mereka bertutur dalam bahasa Perancis, jadi saya mengambil masa sekitar empat bulan dengan ibu mertua saya di sana untuk mempelajari bahasa berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Elena yang kini sudah berkecimpung dalam dunia pendidikan khas selama tujuh tahun berharap agar rakyat Malaysia lebih peka tentang kanak-kanak istimewa dan keperluan mereka, selain memberi layanan sewajarnya kepada golongan tersebut.

Katanya, masyarakat perlu lebih memahami serta tidak mengetepikan kelompok tersebut kerana mereka juga mempunyai hati dan perasaan.

"Kebanyakan mereka ada yang bijak, cuma mereka belajar dengan cara berbeza. Ia sangat penting untuk guru-guru kerana tidak ramai antara mereka dilatih untuk mengajar kanak-kanak istimewa.

"Tapi mereka mungkin perlu lebih prihatin dan mengambil kira bahawa murid berkenaan tidak sesuai diajar menggunakan pendekatan sama dengan kanak-kanak biasa.

"Jadi mungkin pihak sekolah boleh mengadakan program berbeza untuk kanak-kanak yang tidak boleh belajar seperti murid lain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram