SEORANG wanita tempatan ditahan polis kerana disyaki memukul dan melemparkan telefon bimbit milik mahasiswi sebuah kolej swasta di Kajang, Selangor pada Khamis lepas.
Difahamkan, sebelum kejadian itu, suspek yang berusia 50 tahun didakwa melemparkan wang ke arah anggota penguat kuasa selepas tayar kereta miliknya dikunci.
Ketika kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 petang itu, suspek ingin meminjam telefon bimbit bagi membuat panggilan tetapi mangsa dan rakan memaklumkan mereka sedang menggunakan telefon tersebut untuk menjalankan tugasan kerja pembelajaran.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek yang tiba-tiba berang terus merampas telefon bimbit mangsa dan melemparkannya ke jalan raya sehingga rosak.
Menurutnya, mangsa meminta suspek untuk bertanggungjawab dan menyelesaikan masalah kerosakan telefon bimbit miliknya di dalam sebuah premis serbaneka berdekatan untuk berbincang.
"Tiba-tiba suspek memegang sebuah buku dan telah memukul muka suspek menggunakan buku berkenaan dan kedua-dua kejadian ini terdapat dalam video yang sempat dirakam oleh rakan mangsa dan telah tular menerusi media sosial.
"Suspek kini direman selama tiga hari hingga 6 Ogos ini dan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mohd Zaid berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung dengan pegawai penyiasat kes Inspektor Azrul Nizam Zainal Abidin melalui talian 016-9985730 bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram