[VIDEO] Leka main game, bapa tak hirau anak terpelanting jatuh katil


  • Benua
  • Isnin, 31 Okt 2022

Tangkap layar memaparkan kejadian bayi malang yang terjatuh dari sofa.

ANAK merupakan hadiah dan amanah kepada setiap pasangan suami isteri dalam kehidupan berumah tangga.

Anugerah yang tidak ternilai ini seharusnya disayangi dan dijaga dengan sebaik mungkin. Namun begitu, ada yang khilaf menjalankan tanggungjawab ini sehingga menyebabkan anak mereka berada dalam bahaya.

Melalui satu rakaman video yang dimuat naik akaun Instagram say.viideo menunjukkan seorang lelaki yang leka bermain permainan online di telefon bimbit sekali gus menghiraukan anaknya terjatuh dari katil.

"Lelaki ini leka main game sedangkan anaknya sudah terjatuh," tulisnya.

Insiden tersebut dirakam televisyen kamera litar tertutup (CCTV) yang diletakkan di rumah berkenaan.

Lebih membuatkan hati geram, lelaki itu hanya memandang dan membiarkan sahaja anaknya yang terjatuh di lantai sehinggalah ibu kepada kanak-kanak itu berlari untuk mengambil anaknya.

Turut kelihatan wanita itu berkata sesuatu pada lelaki berkenaan namun tidak diendahkan dan terus mengadap peranti miliknya itu.

Menjengah ke ruangan komen, rata -rata perbuatan lelaki tersebut mengundang rasa geram dan marah warga maya.

Malah ada di antara warganet yang membayangkan untuk mengambil dan mencampak telefon bimbit lelaki tersebut.

"Anak jatuh dia boleh tengok saja ya ALLAH. Kalau aku jadi isterinya sudah lama aku campak telefon itu," katanya.

Namun tidak dapat dipastikan lokasi dan tarikh sebenar kejadian itu berlaku.

Video berdurasi 24 saat ini setakat ini sudah mendapat lebih daripada 100,000 tontonan setakat ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram