SEORANG bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia akibat disyaki didera ketika di bawah jagaan pengasuhnya di Taman Tawas Indah, Ipoh, Perak.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, bayi malang itu menghembuskan nafas terakhir petang Jumaat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas dua hari berada dalam keadaan koma.
"Bayi tersebut dibawa ke hospital oleh pengasuhnya pada Rabu lalu dengan menggunakan ambulans selepas dilihat berada keadaan tidak bermaya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, ketika pemeriksaan, pihak hospital mendapati bayi berkenaan berada dalam keadaan koma selain terdapat kesan lebam di badan akibat didera.
Ujar Yahaya, berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan pada Sabtu mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaaan di kepala akibat objek tumpul.
Tambahnya, susulan itu, polis menahan pengasuh berkenaan, seorang wanita tempatan berusia 52 tahun, pada Khamis lalu dan direman selama empat hari bermula Jumaat sehingga Isnin ini.
Katanya lagi, kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Berdasarkan siasatan, suspek menjaga bayi terbabit sejak Mac lalu kerana kedua ibu bapa mangsa bekerja di Australia,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram