PEMILIK perniagaan warga asing yang dipercayai menjalankan operasi secara haram di sebuah perumahan kos rendah di Taman Pelangi, Juru, Pulau Pinang bertindak menghilangkan diri selepas menyedari aktiviti mereka dikesan oleh Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang.
Kejadian itu berlaku dalam satu tinjauan dibuat Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain pada 22 Julai lalu yang turut tular sejak Isnin.
Menerusi klip berdurasi empat minit tujuh saat itu, usaha Sophian untuk mencari pemilik beberapa premis di kawasan tersebut menemui jalan buntu selepas tiada mana-mana individu yang mengaku mengusahakan perniagaan terbabit meskipun ia dilihat dibuka untuk operasi.
Malah salah satu daripada gerai makanan diusahakan itu seolah-olah ditinggalkan secara tergesa-gesa meskipun terdapat makanan yang sedang dimasak di dapur tanpa sebarang pengawasan pekerja.
“Tauke kedai mana, ini perumahan rakyat kos rendah di Taman Pelangi. Tauke lari tinggal kedai buat apa.
“Meniaga gas macam mana? Simpan gas simpan beras kena ada lesen tapi warga asing duduk buat apa?” soal Sophian dalam video tersebut.
Keadaan dapur kedai makan yang ditinggalkan meskipun terdapat makanan yang sedang dimasak.
Lebih mengejutkan, perniagaan yang dijalankan dalam kawasan flat itu turut melibatkan jualan ayam hidup.
“Macam mana ayam hidup boleh meniaga tepi rumah orang. Orang sewa rumah bau tahi ayam. Di pasar tak boleh sembelih ayam sebab kotor. Lepas itu kena ada sijil halal semua. Tapi dekat sini dibiarkan,” ujarnya.
Menerusi klip tersebut, Sophian turut mempersoalkan tahap penguatkuasaan yang dijalankan pihak berkuasa yang membiarkan kegiatan tersebut terus dijalankan.
“Orang tempatan berniaga hampa bagi notis, hampa suruh keluar, tapi warga asing hampa pejam mata,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram