[VIDEO] Obses sampai cacah tatu nama dekat dada, polis buru warga asing menghendap pekerja serbaneka di KL


  • 112
  • Selasa, 25 Jul 2023

Suspek dilaporkan sudah menganggu wanita tersebut sejak awal tahun ini dan warga asing itu juga mencacah tatu (kanan) dengan nama wanita tersebut di bahagian dadanya. — Twitter

POLIS sedang mengesan seorang lelaki warga asing disyaki menghendap seorang pekerja kedai serbaneka di Taman Sri Serdang, Kuala Lumpur seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, suspek dikatakan sering memerhati dan mengganggu wanita itu di tempat kerja termasuk pada 22 Julai lepas kira-kira pukul 11 pagi.

Menurutnya, kejadian hendap itu dipercayai bermula sejak awal tahun ini dan menyebabkan emosi pengadu terganggu serta bimbang akan keselamatan dirinya.

"Difahamkan suspek bekerja sebagai pencuci kereta berhampiran tempat pengadu bekerja.

"Suspek dikatakan telah berpindah tempat kerja baharu pada April lepas tetapi masih datang mengganggu pengadu di tempat kerja,” katanya dalam satu kenyataan.

Anbalagan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan atas kesalahan menghendap yang membawa hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menerusi ciapan di Twitternya, mangsa sebelum itu mendedahkan masih menerima ganggunan daripada suspek meskipun sudah berpindah tempat kerja.

Ujarnya, suspek juga bukan sahaja menghafal nombor plat keretanya malah turut mencacah tatu dengan tertulis namanya di bahagian dada. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram