[VIDEO] 24 pelajar SK Sungai Tiram muntah-muntah, bau aneh bukan berpunca dari kilang haram dan ladang orkid


  • 112
  • Khamis, 03 Ogos 2023

Tangkap layar situasi cemas melanda warga Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor gara-gara tercium bau aneh akibat pencemaran bahan kimia.

WARGA Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram, di Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor dilaporkan mengalami simptom pening dan muntah, dipercayai akibat tercium bau aneh yang berpunca daripada pencemaran sisa kimia pada petang Rabu.

Difahamkan, seramai 24 pelajar, dua guru dan dua petugas kantin terkesan dengan perkara tersebut.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Tinggi II Mohd Salleh Kvp Mohamed berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pencemaran bau kimia itu pada pukul 3.13 petang sebelum 17 anggota dihantar ke tempat kejadian.

Katanya, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati terdapat beberapa mangsa mengalami pening dan muntah.

PKO bertindak membuat 'size up' bagi mencari punca bau pencemaran tersebut.

"Kesemua pelajar dan guru telah diarahkan untuk meninggalkan kawasan sekolah dengan segera. PKO bertindak membuat bacaan udara di lokasi kejadian secara berkala bersama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor.

"Pada pukul 8 malam, pasukan HAZMAT telah membuat kerja-kerja 'detection' di dua lokasi berbeza menggunakan gasmet.

"Lokasi pertama di tapak kilang haram memproses minyak sawit terpakai dan lokasi kedua di ladang orkid. Hasil bacaan yang diterima di kedua lokasi adalah normal," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas Mohd Salleh, proses pengesanan kemudiannya diteruskan pada Rabu dengan pasukan HAZMAT membuat pengesanan dengan menggunakan lebih banyak peralatan termasuk sigis 2 (long range detector), gasmet, rad dan 4 gas meter di beberapa sektor yang ditetapkan.

Katanya, selepas membuat penilaian di lokasi sektor lima iaitu di kawasan sebuah kilang dengan menggunakan gasmet GT5000, terdapat peningkatan bacaan 'methyl mercaptan'.

"Pasukan HAZMAT dan JAS mendapati berlaku aktiviti pembakaran tanki 'ibc' yang mengandungi bahan buangan dalam bentuk pepejal (sludge) dan cecair serta pelupusan bahan pepejal (sludge) dan sisa cecair ke di laluan tali air ke sungai berhampiran.

"Hasil dari penemuan itu, operasi seterusnya diserahkan kepada JAS Johor untuk tindakan berkaitan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram