SEORANG lelaki bertindak di luar kawalan apabila tergamak mencampak anak saudaranya yang berusia tiga tahun dari tingkat satu pangsapuri, sementara adiknya yang baru berusia 40 hari dihempas ke lantai.
Kejadian mengejutkan itu berlaku di sebuah pangsapuri di sebuah flat di Jalan Maklom, Sungai Pinang, Pulau Pinang, pada petang Rabu.
Susulan itu, polis dilaporkan berjaya menahan suspek yang berumur 29 tahun itu di rumah keluarganya selepas menerima laporan kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 3.40 petang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian itu berlaku apabila lelaki terbabit pulang ke rumah dalam keadaan berlumuran darah pada pergelangan tangan akibat dikelar oleh dirinya sendiri sebelum suspek tiba-tiba menyuruh kakaknya yang merupakan ibu kepada kanak-kanak dan bayi perempuan itu, membunuhnya.
Beliau berkata, kakaknya yang terkejut dengan permintaan adiknya itu memintanya bersabar, namun suspek mengambil anak perempuan wanita tersebut lalu mencampaknya keluar dari tingkat satu rumah mereka sebelum melempar bayi itu ke lantai rumah.
"Kejadian tersebut berlaku begitu pantas dan ibu, adik perempuan serta kakak lelaki itu tidak sempat berbuat apa-apa termasuk menghalang suspek daripada bertindak sedemikian,” katanya pada Khamis.
Soffian berkata, kakak kepada suspek kemudian menghubungi suaminya sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.
Ujarnya, ekoran kejadian itu, kanak-kanak berusia tiga tahun berkenaan mengalami kecederaan pada mulut dan patah kaki kiri manakala adiknya mengalami pendarahan dalam otak dan kedua-dua mangsa dirawat di Hospital Pulau Pinang.
"Rumah itu didiami suspek bersama ibu dan adik perempuannya, manakala kakaknya berada di situ kerana berada dalam pantang selepas melahirkan bayi perempuan yang cedera itu,” katanya.
Beliau berkata, lelaki terbabit yang merupakan penganggur kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
"Polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan laporan perubatan suspek sama ada dia mengalami masalah mental atau kesihatan sehingga sanggup bertindak sedemikian," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram