SEORANG buruh binaan direman selama tujuh hari bermula Khamis sehingga 12 April, bagi membantu siasatan kes pembunuhan isterinya dengan tukul besi di Bukit Besi, Dungun, Terengganu pada Rabu.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret, Noradila Ab Latif di Mahkamah Majistret Dungun, Terengganu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna ungu tiba di mahkamah pada pukul 8.42 pagi Khamis dengan diiringi anggota polis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi Rabu, mangsa, Rubiah Sabtu, 41, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Besol di Bukit Besi, selepas dipercayai dipukul dengan tukul besi oleh suspek yang dikahwininya tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah dilaporkan berkata, kejadian dikatakan berlaku akibat perselisihan faham antara mangsa dengan suspek yang berusia 30-an sehingga membawa kepada tragedi berkenaan.
Mangsa memiliki lapan anak iaitu tujuh orang hasil perkahwinan terdahulu dan seorang bayi berusia enam bulan hasil perkahwinan dengan suspek. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram