[VIDEO] Warga maya dakwa konvoi supercar makan jalan di Senai Desaru Expressway milik 'founder'


  • Tular
  • Sabtu, 29 Jul 2023

Tangkap layar sekumpulan pemandu kereta mewah yang memandu secara berbahaya di Senai-Desaru Expressway (SDE), Ulu Tiram, Johor baru-baru ini.

TINDAKAN sekumpulan pemandu kereta mewah yang memandu secara berbahaya di Senai-Desaru Expressway (SDE), Ulu Tiram, Johor baru-baru ini mengundang kecaman dari warga maya.

Manakan tidak, melalui video yang dimuat naik pada Jumaat itu memaparkan kenderaan jenama kereta 'supercar' Lamborghini memotong secara melulu di jalan raya tersebut.

Malah ada di antara mereka bertindak dengan lebih ekstrem dengan memandu di tengah-tengah jalan raya sehingga menyebabkan beberapa kenderaan terpaksa memberi laluan kepada kenderaan tersebut.

Lebih menyakitkan hati lagi, menerusi video berdurasi seminit lebih itu juga, konvoi supercar berkenaan dilihat memotong secara berbahaya dan makan jalan pengguna kenderaan laluan bertentangan serta tidak mempedulikan kenderaan lain.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa kesal dan marah dengan tindakan pemandu tersebut.

Menurut seorang pengguna Twitter, @Pembvnvh_Vpahan, kawasan tersebut kerap berlaku kemalangan dan tindakan pemandu terbabit mendatangkan risiko kepada orang ramai.

"Kawasan ini kerap 'makan manusia' (kemalangan maut). Tambah pula wujudnya manusia riak, takbur, dan istidraj begini, orang lain juga yang jadi mangsa hilang ahli keluarga," tulisnya.

@esenarx pula meluahkan perasaan marahnya selepas melihat sebuah Lamborghini merah merbahayakan pengguna jalan raya yang lain.

"Lamborghini merah itu betul betul mencabar kesabaran. Boleh pula nak 'head to head collision'," tulisnya.

Sementara itu, seorang pengguna @anabismatli pula mendakwa pemandu-pemandu yang memandu kenderaan tersebut adalah pengasas sebuah produk.

"Semua founder (pengasas) ini," katanya.

Terbaharu, pihak polis telah berjaya mengesan kesemua kenderaan terlibat pada pukul 11.10 tengahari Sabtu dan mengenal pasti kesemua pemandu berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora dalam kenyataannya pada Sabtu berkata, kes disiasat di bawah seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.

Jika sabit kesalahan, katanya, pemandu boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada lima ribu ringgit dan tidak lebih daripada 15 ribu ringgit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram