[VIDEO] Ambil kesempatan penamaan calon PRN, aktivis LGBT sibuk 'berkempen' di Sogo KL


  • Tular
  • Ahad, 30 Jul 2023

Tangkap layar sekumpulan individu membuat perhimpunan secara haram di Sogo baru-baru ini. — Twitter

TINDAKAN sekumpulan individu dipercayai penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berhimpun secara haram di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara mengundang pelbagai persoalan warga maya.

Manakan tidak, melalui video yang dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter, Salim Iskandar, kejadian itu dikatakan berlaku pada Sabtu iaitu pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berjalan serentak di enam negeri termasuk Selangor.

"Ini dekat negara mana? Mereka semakin berani ya? Sogo ke? Tempat bersejarah itu," ciapnya.

Menerusi video berdurasi kurang daripada seminit tersebut, kelihatan sekumpulan lelaki memegang sepanduk menuntut hak kesamarataan jantina serta penghapusan diskriminasi jantina dalam kalangan golongan LGBT.

Malah ada di antara mereka yang kelihatan tanpa segan silu secara lantang menuntut hak tersebut.

Video tersebut telah mendapat 17,000 tontonan dan diulang kicau sebanyak 43 kali ketika ini.

Sementara itu, belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung dengan perhimpunan LGBT tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram