PRN: PN tiada dana untuk berkempen, Nur Jazlan anggap kifarah buat Muhyiddin Yasin


  • Politik
  • Rabu, 02 Ogos 2023

Parti Perikatan Nasional dikatakan tidak mempunyai dana untuk berkempen dalam PRN kali ini. — Gambar hiasan

KETIADAAN dana yang dihadapi oleh calon Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini disifatkan sebagai satu pembalasan oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau mendakwa, situasi itu berpunca akibat tindakan politik yang dilakukan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap Umno sebelum ini.

Menurutnya, perbuatan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamed pada 2018 yang didakwa menganiaya Umno dan beberapa pemimpinnya dengan pertuduhan politik, telah menyebabkan akaun parti PN dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada ketika ini.

Beliau berkata, sepanjang dua tahun dari 2018 sehingga 2020, Umno terpaksa menahan keperitan tanpa dana untuk menguruskan parti dan berdepan dengan lapan pilihan raya kecil (PRK).

"Bagi saya semua itu adalah satu kifarah atau hukum karma kepada Muhyiddin dan Bersatu yang sebelum ini menganiaya Umno.

"Tindakan Muhyiddin dan Mahathir nak hancurkan Umno dengan pelbagai dakwaan dan siasatan terpilih akhirnya berbalik kepada mereka.

"Akaun Umno juga pernah dibekukan sebab siasatan SPRM ke atas Presiden Umno dalam kes 1MDB. Tapi akhirnya memang tiada kaitan Umno dalam kes berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir yang mengakui PN mengalami kekangan kewangan untuk berkempen pada PRN kerana akaun Bersatu masih dibekukan oleh SPRM.

Pulai Umno division chief Datuk Nur Jazlan Mohamed said the party should withdraw its support from the Perikatan Nasional government.— THOMAS YONG/The Star

Nur Jazlan Mohamed mengulas lanjut berhubung isu ketiadaan dana yang dihadapi PN pada PRN kali ini. — The Star

SPRM dalam satu kenyataan media pada April lalu memaklumkan bahawa, dua akaun parti Bersatu yang sebelum ini dibekukan disita oleh suruhanjaya itu.

Akaun tersebut disita pada 11 April selepas mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Menurut Ketua Umno Bahagian Pulai itu, pihak itu pernah merasai keperitan dan kesusahan bila kantung parti dibekukan, namun pemimpin serta ahlinya tetap tabah mengharungi dugaan tersebut.

Katanya, berkat kesabaran pemimpin dan ahli-ahlinya, Umno akhirnya tetap memang lima daripada lapan PRK yang diadakan sepanjang tempoh 2019 dan 2020 tanpa dana pilihan raya yang besar.

"Umno terpaksa berjuang dan berdepan dengan beberapa PRK dengan kantung yang kosong. Tapi pemimpin dan orang Umno tak adalah nak mengeluh.

"Jadi sekarang ini biarlah Bersatu dan PAS rasakan pula macam mana pedih serta sakitnya bila kena batang tubuh sendiri.

"Biarlah Muhyiddin cari cara lain untuk membayar jentera kempen PAS sepanjang PRN ini," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Nur Jazlan berkata, bila pemimpin PAS mengeluh mengenai ketiadaan dana PRN akibat akaun Bersatu dibekukan, ia membuktikan selama ini parti berkenaan sememangnya banyak ditaja oleh Bersatu.

Jelas beliau, jika sebelum ini pemimpin PAS sering menafikan parti itu mendapat sumbangan dana daripada Bersatu terutamanya pada Pilihanraya Umum Ke-15 lalu, namun kenyataan daripada PAS Selangor itu sudah mendedahkan cerita sebenar.

"Jadi benarlah cerita-cerita sebelum ini yang dakwa Bersatu memang jadi ‘banker’ kepada PAS.

"Sebab itulah pemimpin PAS terutamanya Tan Sri Abdul Hadi Awang cukup sayangkan Bersatu hingga sanggup khianati Umno dalam Muafakat Nasional," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram