Hanya satu ujian teori untuk 2 lesen memandu kelas berbeza mulai 15 September — Anthony Loke


  • Primer
  • Rabu, 02 Ogos 2023

Pemohon lesen selepas ini hanya perlu menjalani satu ujian teori untuk mendapatkan lesen motosikal dan memandu. — Gambar hiasan

ORANG ramai kini hanya perlu menduduki satu ujian teori untuk mendapatkan lesen motosikal dan memandu di bawah peraturan baharu yang akan dikuatkuasakan mulai 15 September ini, kata Anthony Loke.

Menteri Pengangkutan itu berkata, di bawah peraturan baharu tersebut, seseorang individu itu tidak perlu menduduki ujian teori untuk mendapatkan lesen memandu sekiranya mereka sudah pernah menjalaninya sebelum ini.

Loke berkata, keputusan itu dibuat berikutan maklum balas dan permintaan daripada orang ramai.

Tambahnya, prosedur berkenaan sebenarnya telah dilaksanakan beberapa tahun lalu tetapi telah ditukar kepada yang sekarang sebelum dasar lama itu dijalankan semula.

"Walaupun kami akan mengecualikan pemohon daripada perlu mengambil dua ujian teori, mereka masih perlu menjalani ujian di litar dan jalan raya untuk motosikal dan kereta secara berasingan," katanya dalam sidang media pada Rabu.

Justeru, mereka yang mempunyai lesen motosikal tidak lagi perlu menduduki ujian teori tetapi masih perlu menjalani ujian litar dan jalan raya untuk mendapatkan lesen memandu.

Loke berkata, ilmu kurikulum yang diajar dalam kelas memandu akan digabungkan dan pemohon perlu mempelajari elemen teori pengendalian motosikal dan kereta secara serentak.

"Kami percaya, keputusan baharu ini akan memberi manfaat kepada orang ramai kerana mereka tidak perlu lagi mengambil kelas selama enam jam hanya untuk mendapatkan satu lagi lesen.

"Kami juga menjangkakan orang ramai akan menikmati penjimatan sebanyak RM100 daripada keputusan ini," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram