'Kalau Rafizi Ramli luar biasa, Kerajaan Perpaduan bertambah kukuh'


  • Politik
  • Sabtu, 03 Jun 2023

Mohd Puad sebelum ini mempersoalkan kebolehan Rafizi dalam mengawal situasi ekonomi negara.

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan, sekiranya Rafizi Ramli mampu menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Ekonomi dengan baik, prospek ekonomi Kerajaan Perpaduan pasti akan bertambah kukuh ketika ini.

Beliau berkata demikian membalas teguran Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menganggapnya sebagai 'menembak kaki sendiri' apabila beliau mempersoalkan kebolehan Rafizi dalam mengawal situasi ekonomi negara.

"Saya dituduh tembak kaki sendiri. Apakah meminta Rafizi mengemukakan formula yang realistik dan luar biasa dianggap tembak kaki sendiri?

"Apakah mendesak menteri supaya perform dianggap tembak kaki sendiri? Apa salahnya Rafizi ditegur. Kalau dia luar biasa, Kerajaan Perpaduan tambah kukuh," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Mohd Puad turut mempersoalkan sama ada seorang menteri langsung tidak boleh menerima kritikan atau sebarang pandangan daripada pihak lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu menjelaskan, terma 'tembak kaki sendiri' itu hanya sesuai digunakan merujuk kepada menteri yang tidak menunjukkan prestasi baik dalam meneruskan hala tuju kerajaan.

"Apa maksud tembak kaki sendiri. Tidak boleh dikritik? Tidak boleh ditegur? Tidak boleh beri pandangan? Tugas saya bukan menghasut. Saya tidak ambil pun tugas lama Rafizi.

"Tembak kaki sendiri ialah apabila menteri tidak perform, gagal buat benda luar biasa dan formulanya tidak boleh dipakai. Itu lemahkan kerajaan.

"Saya boleh dituduh tembak kaki sendiri apabila takut bersuara dan kelemahan dibiarkan berleluasa. Sebab itu saya lain daripada yang lain," ujarnya.

Sebelum ini, Mohd Puad dilihat lantang menyuarakan pandangan mengenai Rafizi yang disifatkan gagal mengemukakan sebarang langkah signifikan untuk memulihkan ekonomi, selain menyindirnya sebagai banyak sangat formula.

Bagaimanapun, kecaman itu mendapat reaksi pelbagai pihak antaranya, Asyraf Wajdi yang berpesan agar Mohd Puad perlu berhenti daripada terus menyalahkan sesama pimpinan di bawah Kerajaan Perpaduan yang tidak akan menguntungkan mana-mana pihak. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram