[VIDEO] ‘Steady Pak Long’, petani Kedah ‘sound’ Rafizi Ramli depan-depan


  • Massa
  • Selasa, 11 Jul 2023

Ishak (kiri) ketika menyampaikan pandangannya kepada Rafizi (kanan) semasa sesi libat urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025 di Royal Kedah Club, Alor Setar, Kedah pada Ahad.

KELEWATAN pemberian peruntukan kerajaan Persekutuan terhadap negeri Kedah pada tahun ini didakwa bakal menjejaskan operasi pengeluaran hasil padi dalam kalangan pesawah di negeri tersebut.

Perkara itu dibangkitkan seorang individu dipercayai petani ketika sesi libat urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025 dan diadakan di Royal Kedah Club, Alor Setar, Kedah pada Ahad yang turut dihadiri Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Hadir sama pada acara tersebut ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Dalam sesi soal jawab yang tular di sosial media itu, individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Ishak Taib dan wakil kepada pertubuhan peladang mendakwa, peruntukan yang sepatutnya disalurkan antara Mac atau April bagi penyelenggaraan infrastruktur pertanian masih belum diterima.

Jelasnya, peruntukan itu antara lain untuk kegunaan membabitkan selenggara kemudahan jalan ladang sepanjang 6,212 kilometer (km) di Kedah yang meliputi parit, saliran dan terusan.

Menurut Ishak, kelewatan pemberian peruntukan itu menyebabkan proses penyelenggaraan tidak dapat dijalankan pada waktu sepatutnya iaitu ketika musim kemarau yang lazimnya berlaku pada penghujung Disember hingga Mac setiap tahun.

"Peruntukan akan sampai kepada kerajaan (negeri) selalunya Mac atau April baru sampai. Tahun ini dah sampai Jun dan Julai dah. Kami tak boleh nak selenggara jalan ladang dan perparitan ini ketika waktu yang sesuai.

"Makanya, (pada waktu ini) negeri kedah yang buat bendang dan sawah ini akan terlibat dengan banjir (musim hujan). Bila tiba musim ini, ada yang tak boleh buat (selenggara) dan sebagainya," ujarnya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pesawah berhadapan kesukaran menghasilkan tanaman kerana terpaksa berhadapan situasi bendang ditenggelami air ketika musim banjir sehingga merosakkan padi milik mereka.

Jelas Ishak, pesawah di negeri tersebut melakukan proses pembuatan bendang padi sebanyak dua kali setiap tahun iaitu bagi tempoh antara Januari sehingga Jun dan Julai sehingga September.

"Jadi kita mohon supaya peruntukan ini diawalkan sebab kerja-kerja penyelenggaraan perlu dibuat ketika musim kemarau,"ujarnya.

Pada masa sama, Ishak berkata, kerajaan turut digesa supaya melancarkan penyelesaian dua projek utama berkaitan pengurusan pengairan dan banjir di negeri tersebut yang memberikan kesan langsung kepada operasi pertanian di Kedah.

Ia membabitkan projek rancangan tebatan banjir dan projek Jenian projek Jeniang Transfer serta pembinaan empangan Naok yang terletak di Selatan Kedah.

"Saya nak mohon kepada YB Menteri untuk tengok semula benda ini bagi berjalan lancar dan elok. Jangan bagi kami kekal dalam keadaan miskin. Miskin itu dah satu hal, tapi lagi payah nak buat kerja pun susah.

"Orang tak tahu bila kita tabur padi bulan Mac, padi itu tenggelam. Tabur bulan April, pun tenggelam. Bila tabur bulan Mei, ini masuk Jun pun tenggelam. Dah susah macam ni, bila nak naik hasil? soalnya.

Untuk rekod, Kedah membekalkan 43 peratus bekalan beras ke seluruh negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram