Tak puas hati pelan tak penuhi syarat, kerajaan Selangor batal pembinaan PJD-Link


  • Primer
  • Isnin, 31 Jul 2023

Penduduk sebelum ini pernah membuat demonstrasi secara aman bagi membantah pembinaan projek PJD Link.

KERAJAAN negeri Selangor memutuskan untuk membatalkan permohonan pembinaan Petaling Jaya Dispersal Link (PJD-Link).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu diambil susulan pelan yang dikemukakan tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh pentadbiran kerajaan negeri.

"Berkait dengan laporan penilaian impak yang dikemukakan, terutamanya dari segi laporan impak sosial, pentadbiran ini tidak berpuas hati dengan pelan yang dikemukakan kerana tidak menepati syarat ditetapkan kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri telah meneliti beberapa aspek berhubung cadangan pembinaan lebuh raya yang ingin dibangunkan di kawasan Bandaraya Petaling Jaya, Selangor itu.

Ujarnya, cadangan pembinaan lebuh raya itu pada awalnya mendapat kelulusan prinsip daripada Jemaah Menteri Persekutuan pada 12 November 2017.

"Cadangan ini kemudian dibawa kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) pada 3 September 2020 dan diberi ruang untuk kajian dijalankan dengan melibatkan penduduk di kawasan Petaling Jaya.

"Seterusnya, cadangan ini dibentangkan kepada Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan pada 12 November 2021 melalui Memorandum Jemaah Menteri untuk kelulusan bersyarat supaya cadangan ini memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri Selangor," katanya.

Selangor Mentri Besar Datuk Seri Amirudin Shari— KK SHAM/The Star

Amirudin Shari memutuskan untuk membatalkan permohonan pembinaan PJD-Link.

Jelas beliau lagi, susulan daripada itu, perjanjian konsesi antara Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional (PN) dan pemaju berkenaan telah ditandatangani pada 5 April 2022 dengan syarat syarikat berkenaan melaksanakan secara penuh Kajian Environmental Impact Assessment (EIA), Kajian Social Impact Assessment (SIA) dan Kajian Traffic Impact Assessment (TIA) sebelum perjanjian itu diaktifkan.

"Sehubungan itu, prinsip pentadbiran ini adalah supaya pembangunan di negeri Selangor mencapai keseimbangan antara kemampanan, kemajuan ekonomi negeri serta tidak membawa kemudaratan kepada rakyat negeri Selangor," ujar Amirudin.

pjdlink

Terdapat segelintir penduduk yang berpandangan isu PJD Link berisiko menjejaskan undian rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Untuk makluman, PJD Link ialah sebuah lebuh raya penyuraian sepanjang 25.4 kilometer (km) yang menghubungkan Damansara dengan Kinrara, Puchong.

Lebuh raya itu bertujuan mengurangkan kesesakan di sepanjang beberapa lebuh raya yang berhubung, iaitu Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Bukit Jalil, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kesas dan Lebuhraya Sprint.

Bagaimanapun, pembinaan lebuh raya berkenaan mendapat bantahan daripada penduduk ekoran ia dilihat tidak akan menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas, sebaliknya akan mengakibatkan banyak masalah seperti pencemaran bunyi dan alam sekitar, memusnahkan tumbuh-tumbuhan, dan lebih parah, ia boleh menyebabkan banjir menjadi teruk kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram