
SEBANYAK 150 penduduk dan ahli politik dari kedua-dua belah pihak berkumpul untuk mengadakan bantahan secara aman terhadap projek pembinaan Lebuhraya PJD Link di Seksyen 14, Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.
Protes itu diketuai oleh hampir 20 kumpulan penduduk, jurutera bersara dan pihak berkepentingan.
Pengerusi Residents Against PJD Link, David Yoong berkata, lebuh raya itu tidak memenuhi pelan bandar karbon rendah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 2030.
Beliau berkata, ia juga tidak memenuhi pelan Agenda Tempatan 21 yang memerlukan penyertaan awam dan input mereka serta matlamat berkaitan perubahan iklim dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 172, yang memerlukan pelan pembangunan mampan.
"Langkah kita seterusnya ialah mengadakan bantahan secara aman di lokasi lain yang terjejas akibat PJD Link seperti Bandar Utama.
"Kami juga akan menghantar rayuan kepada Sultan Selangor untuk menangguhkan projek lebuh raya tersebut," katanya.
Pengerusi MCA Damansara, Tan Gim Tuan, yang turut hadir berkata, kerajaan negeri mesti melihat semua kebaikan dan keburukan projek itu.
"Kami memerlukan laporan untuk dibentangkan bagi mempersetujui projek lebuh raya berkenaan. Saya juga ingin bertanya kepada kerajaan negeri Pakatan Harapan adakah janji mereka untuk memansuhkan tol masih tertangguh?
"Jika ya, maka bertindaklah atas janji itu dan hapuskan tol," kata Tan.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Àbdullah, dalam pada itu berkata, pihak berkuasa tidak seharusnya mengambil jalan mudah dengan membina lebuh raya sebaliknya mempertimbangkan bentuk pengurusan lalu lintas yang lain.
Beliau berkata, lorong berbasikal, bas dan pengangkutan awam mesti dipertimbangkan sebagai penyelesaian pengurusan trafik. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram