MUSIM Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri di Malaysia secara rasminya bermula pada Sabtu selepas proses penamaan calon selesai dijalankan dan calon-calon dilihat mula berkempen di kawasan yang ditetapkan untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri berkenaan.
Calon-calon juga dilihat mula bergaul dengan penduduk setempat dan cuba mendalami permasalahan mereka supaya suara golongan tersebut dapat diangkat, sekali gus menjadi agenda utama untuk memenangi hati rakyat.
Penduduk di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor yang merupakan sebahagian daripada DUN N49 Sungai Kandis di Selangor, mereka dikatakan berdepan dengan pelbagai masalah yang seolah-olah tidak selesai walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri di kawasan tersebut silih bertukar ganti.
Salah seorang penduduk di kampung tersebut, Mohd Izzy Roslan, 27, berkata, kawasan tempat tinggalnya sering dilanda banjir kilat akibat sistem perparitan yang kurang cekap, selain keadaan jalan rosak yang membahayakan pengguna.
Dia yang juga penduduk asal di situ mendakwa, masalah tersebut telah terjadi sejak sekian lama dan seolah-olah sentiasa berulang kembali tanpa penyelesaian konkrit.
"Banjir itu memang dari dulu lagi, tak perlu dibincangkan. Kawasan terdekat seperti di Kampung Johan Setia pun selalu banjir.
"Selain itu juga isu jalan di sini selalu rosak, benda ini memang dah lama jadi. Tak tahu nak cakap macam mana," katanya kepada Majoriti.
Kawasan simpang empat berdekatan Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor sering mengalami kesesakan lalu lintas di pagi hari selain menjadi lokasi panas berlaku kemalangan kerana kenderaan laju turun dari bukit.
Bagi penduduk lain, Aisyah Md Zain, 46, dia mengharapkan bakal penyandang kerusi DUN Sungai Kandis untuk menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas yang melanda kawasan tersebut.
Dia yang baru berpindah dari Seksyen 18, Shah Alam ke situ pada tahun lalu pada asalnya ingin mendapatkan ketenangan di kawasan kampung terpaksa berdepan dengan masalah berkenaan yang dilihat agak mengganggu.
"Jalan raya di sini sering sesak pada waktu petang kerana penduduk di sini sudah mula padat.
"Jadi saya harap bakal YB di sini boleh membuat perancangan, untuk mengurangkan kesesakan di sini," katanya yang juga seorang suri rumah.
Sementara itu, seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Ezad berkata, beberapa lokasi di kampung berkenaan mula dihuni anjing liar yang gemar mengoyakkan plastik sampah di tempat pembuangan sampah untuk mencari makanan pada waktu malam.
Katanya perkara tersebut sekali gus menjadikan tempat tersebut bertambah kotor dan berbau, selain air sisa sampah turut mengalir ke atas jalan raya.
"Kadang-kadang geli bila tengok (sampah bertaburan atas jalan), benda ini dah lama jadi. Tapi anjingnya masih banyak.
"Mungkin boleh cuba bincang dengan pihak berkuasa untuk tangani isu ini sebab ia melibatkan kebersihan," katanya.
PRN Selangor di DUN N49 Sungai Kandis kali menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara gabungan PH dan BN yang diwakili oleh penyandang kerusi tersebut, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Afriena Shaqira Sariff dan Perikatan Nasional (PN) dari Bersatu, Wan Dzahanurin Ahmad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram