SEORANG penjinak ular tedung di wilayah Jawa Tengah, Indonesia maut selepas dipatuk oleh haiwan tersebut semasa sedang melakukan persembahan awam pada Selasa.
Menurut laporan TribunJateng.com, ketika kejadian, mangsa Abdul Munir, 20, sedang menunjukkan kemahirannya bermain dengan reptilia berbisa tersebut di hadapan sejumlah penonton.
Bagaimanapun, ular tedung itu secara tiba-tiba bertindak agresif apabila mengigit tepat ke hidung pemuda tersebut yang ketika itu sedang mendekatkan mukanya untuk mencium haiwan tersebut.
Video mengenai kejadian tersebut yang dirakam secara amatur oleh penduduk di kawasan tersebut turut tular di media sosial.
Menerusi klip tersebut, keterujaan penonton yang pada awalnya bertepuk tangan meraikan persembahan itu bertukar cemas apabila melihat serangan tedung berkenaan terhadap Abdul.
Akibat daripada situasi itu, penjinak ular itu dilaporkan berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum pengsan dengan persembahan pertunjukan terbabit kemudiannya ditamatkan serta-merta.
Pegawai polis Grobogan, Teddy Hernomo memaklumkan, mangsa yang dikejarkan di klinik terdekat gagal diselamatkan apabila disahkan meninggal dunia di pusat kesihatan berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram