[VIDEO] ‘Menyelit' tak kena tempat, mat moto berderau jantung nyaris dirempuh lepas cium jalan di Batu Caves


  • Tular
  • Khamis, 27 Jul 2023

Tangkap layar insiden kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal yang nyaris dirempuh kenderaan di Batu Caves, Gombak, Selangor.

SEORANG penunggang motosikal nyaris dirempuh sebuah kereta selepas terjatuh di laluan jalan raya dekat Batu Caves, Gombak, Selangor pada Rabu.

Ketika kejadian, individu lelaki itu terlebih dahulu menunggang laju di jalan tersebut sebelum cuba menyelit di kawasan sempit bersebelahan dengan kereta di hadapannya.

Namun, cubaannya gagal apabila dihimpit kenderaan tersebut sekali gus menyebabkan penunggang berkenaan terjatuh dan tercampak ke lorong sebelah.

Nyaris dirempuh sebuah kenderaan yang datang dari arah berlawanan, pemuda itu walau bagaimanapun sempat bangkit semula lalu terselamat daripada perlanggaran tersebut.

Dalam pada itu, si penunggang dilihat tidak mengalami sebarang kecederaan apabila masih boleh berdiri dan bergerak ke arah motosikalnya selepas daripada kejadian tersebut.

Rakaman berdurasi 20 saat itu berakhir dengan individu terbabit cuba beredar dari lokasi berkenaan.

Masih belum ada sebarang kenyataan polis berhubung insiden itu setakat ini dengan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram