[VIDEO] Penganggur mabuk maki, serang polis ada rekod jenayah, kena tahan reman 4 hari


  • 112
  • Khamis, 08 Jun 2023

Tangkap layar insiden pergaduhan membabitkan seorang individu lelaki di Lebuh Chulia, George Town.

TINDAKAN seorang lelaki yang mengasari orang awam di Lebuh Chulia, George Town, Pulau Pinang membawa padah apabila suspek berusia 56 tahun itu ditahan polis pada Rabu.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 8.45 malam itu, suspek dilaporkan turut menghamburkan kata kesat kepada anggota polis yang menahannya.

Rakaman berdurasi 58 saat itu dimuat naik di laman Twitter dan memaparkan insiden pergaduhan membabitkan individu berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan mendapati warga tempatan itu berada di bawah pengaruh alkohol dan terdahulu menumbuk muka serta kereta milik orang awam.

Katanya, anggota polis yang tiba di tempat kejadian bertindak menahan suspek, namun lelaki itu menghamburkan kata-kata kesat.

"Berlaku pergelutan ketika suspek ditahan menyebabkan anggota polis cedera di tangan. Suspek yang tidak bekerja itu berasal dari George Town dan mempunyai satu rekod lampau membabitkan dadah," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Soffian berkata, hasil ujian saringan air kencing, suspek juga positif dadah dan dia direman empat hari sehingga 11 Jun.

"Polis juga meminta orang ramai yang melihat kejadian supaya tampil membantu siasatan," katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam ketika menjalankan kewajipan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram