[VIDEO] Sentuh 'aircond' tanpa izin, penumpang kena maki, dihalau pemandu e-hailing


  • Benua
  • Selasa, 10 Jan 2023

Tangkap layar seorang pemandu e-hailing yang menengking dan menghalau penumpangnya kerana menyentuh penghawa dingin tanpa izin di Singapura baru-baru ini.

GARA-gara sentuh penghawa dingin tanpa kebenaran, seorang penumpang lelaki dimarahi dan ditengking pemandu e-hailing yang bertindak kasar ketika memandu dalam kejadian di Singapura baru-baru ini.

Kejadian itu difahamkan berlaku selepas pemandu berkenaan mendakwa perbuatan dilakukan penumpangnya merupakan satu perkara biadab dan kurang sopan.

“Awak sentuh 'aircond' saya tanpa kebenaran, awak patut tanya saya, 'boleh saya turunkan?'” jerit pemandu itu.

Tersentak dengan situasi tersebut, penumpang yang hanya dikenali sebagai OP menjawab, dia menanti selama 15 minit selepas meminta kebenaran namun akibat tiada jawapan yang diberikan, dia kemudiannya melaraskan penghawa dingin tersebut.

Susulan tindakannya itu, pemandu berkenaan menghalau lelaki tersebut untuk keluar dari kenderaannya sambil menghentikan pemanduan.

Enggan patuh kepada arahan tersebut, OP berkeras dan terus meminta agar perjalanan diteruskan sehingga tiba di lokasi yang dituju.

“Tidak, awak perlu hantar saya ke destinasi sepatutnya, saya tidak akan keluar dari kereta," katanya.

Namun, selepas beberapa kali diberikan tekanan dan ugutan polis, penumpang tersebut kemudiannya mengalah dan terpaksa akur akan perintah lelaki terbabit.

OP meminta untuk dihantar ke balai polis kerana mahu melaporkan kejadian itu ke pihak berkuasa Singapura.

Setibanya di balai polis, pemandu biadab itu kemudiannya beredar dari lokasi tersebut sambil meninggikan suara dan menghalau lelaki berkenaan.

Dalam pada itu, jurucakap pihak syarikat e-hailing tersebut berkata, mereka sedang menyiasat kes itu dan telah menghubungi kedua-dua belah pihak untuk mengesahkan butiran kejadian.

Namun, masih belum ada sebarang tangkapan ataupun tindakan tegas diambil oleh pengurusan syarikat berkenaan setakat ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram