TREND menunggang motosikal dengan membuat aksi berbahaya menjadi-jadi sejak kebelakangan ini apabila penunggang motosikal sengaja melakukan 'wheelie' semata-mata sebagai kandungan untuk meraih ‘view’ yang tinggi di media sosial.
Terbaharu tular satu video memaparkan dua individu lelaki membuat aksi wheelie tersebut sebaik laluan keluar Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR).
Video berkenaan dimuat naik oleh sebuah portal media portal tempatan pada Sabtu.
Lebih membahayakan, salah seorang daripada penunggang tersebut turut naik ke atas motosikalnya dan memecut laju.
Menerusi video berdurasi 23 saat itu juga, kedua-dua penunggang yang menaiki motosikal berasingan itu seolah-olah tidak mempedulikan kenderaan lain di sekeliling mereka.
Namun begitu, dalam video yang dimuat naik, sampah sarap yang bertaburan di tepi laluan itu turut menarik perhatian warga maya dan tentu sekali ia angkara pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab.
Menurut pentadbir (admin) laman Twitter berkenaan, laluan sebaik keluar dari LATAR menuju ke Kuala Selangor dipenuhi dengan sampah.
"Selain menyaksikan kehebatan anak-anak muda kita, pada kesempatan ini admin nak minta pada semua untuk tengok tepi jalan, penuh sampah.
"Ini laluan keluar dari lebuh raya LATAR menuju ke Kuala Selangor, sepanjang jalan di kedua arah penuh sampah sedangkan Kuala Selangor sudah bertaraf majlis perbandaran," ciapnya.
Pada masa sama, dia turut mempersoalkan prestasi kutipan sampah di kawasan berkenaan dan meminta Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memandang serius terhadap perkara tersebut.
"Hanya kutipan cukai dan parkir sahaja yang meningkat sejak Kuala Selangor sudah bertaraf Majlis Perbandaran.
"Minta, Dr. Dzulkefly Ahmad tengok masalah remaja dan sampah di Parlimen dia.
Panggil pegawai-pegawai Majlis Perbandaran Kuala Selangor suruh selesaikan masalah sampah yang teruk di seluruh daerah Kuala Selangor," tulisnya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memberikan pelbagai reaksi melihat video tersebut.
"Ini kalau lebuhraya CSR, satu Malaysia maki hamun 'rakyat Kelantan tak bertamadun' 'negeri isley' 'serambi mekoh' 'sek kito mandi lanjey'.
"Bak kata Zainuddin 'demikianlah perempuan, ia hanya ingat kekejaman orang kepada dirinya walaupun kecil dan ia lupa kekejamannya sendiri pada orang' (Petikan dialog dari filem filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck)," kata @Nadiii_.
"Sampah bertemu sampah, eloklah 'merempit' di situ," kata @Erina.
Sementara itu, polis kini sedang mengesan dua individu yang terlibat dalam aksi berbahaya berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superitendan Ramli Kasa, satu kertas siasatan dibuka dibawah Seksyen 42 (1) Akta Pengankutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi Inspektor Najmi di talian 017-8028105," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ramli turut menasihatkan pengguna jalan raya yang lain membuat tindakan serupa yang boleh membahayakan diri sendiri dan juga orang lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram