[VIDEO] Tiga sefamili termasuk bayi maut, kereta terbabas langgar pembetung ketika cuaca gelap di LPT2


  • 112
  • Rabu, 26 Jul 2023

Keadaan kenderaan dinaiki oleh keluarga tersebut yang terlibat dalam kemalangan di LPT2 dekat Bukit Besi, Dungun, Terengganu pada petang Selasa. — Facebook

TIGA sekeluarga termasuk seorang bayi berusia dua bulan maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 375.8, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Bukit Besi, Dungun, Terengganu pada petang Selasa.

Dalam kejadian pada pukul 6.25 petang itu, mangsa yang maut ialah Raja Nurhanani Nabila Raja Hussin, 23, dan bayinya, Nik Muhammad Zayyan Irfan Zulhilmi Ismail serta ibu Raja Nurhanani Nabila, Noreha Mohamed, 53.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supritendan Baharudin Abdullah berkata, kemalangan berlaku apabila kereta dinaiki tiga mangsa bersama dua lagi anggota keluarga hilang kawalan lalu terbabas melanggar kotak pembetung yang berada di sebelah kiri jalan sebelum terbalik.

Beliau berkata, ketika kejadian, lima sekeluarga berkenaan dalam perjalanan menghantar Raja Nurhanani Nabila pulang ke rumah suaminya di Kem Tentera Darat Batu 10, Kuantan, Pahang dari kampung mereka di Wakaf Bharu, Kelantan.

"Dua lagi anggota keluarga iaitu adik kepada Raja Nurhanani Nabila, Raja Haikal Najmi, 20, dan Raja Nurhumairaa Nadzirah, 17, yang cedera parah dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Dungun sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

"Jenazah Noreha dan Nik Muhammad Zayyan dihantar ke Hospital Dungun untuk tindakan selanjutnya, manakala jenazah Raja Nurhanani Nabila dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi.

Baharudin berkata, ketika kemalangan cuaca gelap dan keadaan jalan raya basah selepas hujan lebat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, kemalangan, maut, lpt2, HSNZ, Hospital Dungun