[VIDEO] Mendapan besar di Lebuh Raya Karak, pengguna diminta 'exit' ke bandar Bentong


  • Tular
  • Selasa, 25 Jul 2023

Keadaan jalan raya di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) @ E8 dekat kilometer 66.1 menghala ke arah timur dan barat Bentong yang dikongsikan warga maya.

SEMUA lorong arah timur dan barat di Kilometer (KM) 66.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) ditutup kepada semua kenderaan ekoran kejadian jalan mendap pada Selasa.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.34 malam Selasa itu melibatkan lokasi antara Persimpangan Bentong Barat ke Persimpangan Bentong Timur.

Menurut laman Twitter @LPTTrafik, mendapan tanah tersebut menghalang lorong kiri dan kanan.

Pentadbir laman Twitter berkenaan turut menasihatkan pengguna dinasihatkan untuk 'exit' ke bandar Bentong.

Hasil pemerhatian Majoriti di media sosial juga mendapati, warga maya sudah mula berkongsi beberapa gambar dan video yang berlaku di kawasan tersebut.

Sementara itu, Lebuhraya Pantai Timur dalam catatan di laman Facebook meminta supaya pengguna dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur keluar di persimpangan Bentong Timur dan masuk semula ke persimpangan Bentong Barat.

"Bagi pengguna dari Kuala Lumpur ke Kuantan diarahkan keluar ke persimpangan Bentong Barat dan masuk semula ke persimpangan Bentong Timur,” katanya.

Pada masa sama, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam hantaran di Facebook memaklumkan beliau telah mengarahkan semua agensi dan syarikat konsesi terlibat untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

"Saya ambil maklum kes jalan mendap yang berlaku di KM66.1 Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak yang berlaku.

"Saya telah mendapatkan maklumat daripada pegawai dan difahamkan kejadian berlaku sekitar 8.34 malam. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kejadian mendapan tanah berlaku di KM 66.1 arah barat dan timur, antara Persimpangan Bentong Barat ke Persimpangan Bentong Timur,” katanya.

Beliau berkata, status terkini semua lorong arah timur dan barat ditutup dan pengguna menghala ke arah Kuantan atau Karak dinasihatkan keluar di Persimpangan Bentong Barat dan masuk semula ke lebuh raya di Persimpangan Bentong Timur.

"Pengguna yang ingin menggunakan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR) untuk ke Kota Bharu dibenarkan menggunakan Persimpangan CSR manakala pengguna ke arah Kuala Lumpur dinasihatkan keluar di Persimpangan Bentong Timur dan masuk semula ke lebuh raya di Persimpangan Bentong Barat.

Trafik dalam keadaan terkawal. Saya telah mengarahkan jabatan dan agensi yang terlibat supaya memberikan saya kemas kini kejadian ini kepada saya dari semasa ke semasa,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram