[VIDEO] Helikopter bomba terhempas di Subang, 7 penumpang terselamat


  • Primer
  • Sabtu, 22 Jul 2023

CAAM mengesahkan sebuah helikopter mengalami kemalangan di kawasan apron hangar LTSAA Subang, pada Sabtu.

SEBUAH helikopter jenis Leonardo S.p.A AW189 nombor pendaftaran 9M-BOF dilaporkan mengalami kemalangan di kawasan apron Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL-MIAT) dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada Sabtu.

Mengesahkan insiden itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Norazman Mahmud berkata, helikopter yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu sedang menjalani ujian penerbangan.

“Menara kawalan trafik udara Subang menerima laporan kemalangan pada pukul 11.52 pagi dan Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) telah bertindak segera terhadap insiden tersebut.

“Terdapat tujuh penumpang termasuk juruterbang dalam helikopter tersebut dan kesemuanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Norazman, siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram