[VIDEO] Laluan 25 meter Forest City ditutup sementara waktu akibat mendapan tanah


  • 112
  • Ahad, 23 Jul 2023

Kejadian tanah mendap sepanjang 25 meter di Jalan Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas di Iskandar Puteri pada Ahad. — Bomba

LALUAN sepanjang 25 meter di Jalan Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, Johor ditutup sementara waktu susulan kejadian tanah mendap yang dilaporkan berlaku pada petang Ahad.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II, Hairulnizam Mohd Noh memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 2.09 petang.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian tanah mendap tersebut.

"Tujuh anggota dengan sebuah jentera dihantar ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi, didapati telah berlaku kejadian tanah mendap melibatkan kawasan jalan raya utama sepanjang 25 meter.

"Anggota telah membuat pemantauan bagi memastikan keadaan sekeliling selamat sebelum kawalan lalu lintas diserahkan kepada pihak polis," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, pihak pengurusan Forest City dilaporkan akan melakukan siasatan penuh berhubung kejadian terbabit.

Dalam masa sama, mereka juga difahamkan akan memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan berhubung tragedi berkenaan.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang tadi dan sebaik dimaklumkan, Forest City menghantar pasukan teknikal ke lokasi kejadian selain turut memaklumkan pihak berkuasa.

Laluan sepanjang 25 meter di Jalan Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah ditutup sementara. — Bomba

"Siasatan akan dibuat bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Projek baik pulih akan dilaksanakan secepat mungkin dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan melalui media sosial Forest City," tambahnya.

Jelas Hairulnizam, pihaknya menamatkan operasi pada pukul 3.09 petang selepas mendapati tiada mangsa terlibat dalam insiden terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram