'Simpan duit bawah bantal', pengguna geram aplikasi MAE kerap tergendala, desak kembalikan sistem M2U


Aplikasi MAE Maybank dikatakan kerap tergendala dan mengundang keluhan pengguna. — Gambar hiasan

PENGGUNA aplikasi Maybank Anytime, Everyone (MAE) Maybank meluahkan kemarahan di laman media susulan gangguan yang sering dialami ketika menggunakan platform web tersebut sejak beberapa hari lalu.

MAE merupakan satu aplikasi yang menawarkan sokongan dompet digital untuk memudahkan lagi transaksi secara dalam talian pengguna.

Antara ciri baharu yang diperkenalkan adalah sistem pengasingan wang daripada akaun satu dengan pengguna boleh mengelak daripada berbelanja secara berlebihan.

Namun, kebelakangan ini ia dikatakan kerap tergendala dan menyukarkan urusan transaksi penghantaran serta pengeluaran wang sekali gus mengundang masalah buat pengguna khususnya pada hari penerimaan gaji.

Bertitik tolak dari situ, pengguna mula mendesak agar pihak bank terbabit kembali menjalankan sistem Maybank2U (M2U) yang disifatkan lebih mudah dan mesra pelanggan khususnya bagi mereka yang menjalankan perniagaan dalam talian.

"Maybank2U dah elok sebenarnya kenapa gatal pergi tukar kepada MAE, benda tak rosak dia pergi ganti dengan yang baharu tapi semakin menyusahkan dan merumitkan pengguna.

"Simpan duit bawah bantal jela, nak bayar bil semua pergi berurusan di kaunter lebih mudah, kita kembali ke sistem zaman dulu lagi elok daripada MAE yang asyik tergendala," ujar Faizal Raza.

"Kalau dah tahu servis tak elok tak payah la tukar kepada yang baharu, yang sedia ada pun asyik kena godam sepatutnya perbaiki sistem keselamatan, memang ramai yang tak minat dengan MAE ini," jelas Fiena Khan.

"Jangan kata nak buat pembayaran, nak ambil duit gaji pun tak boleh kalau macam ini, orang berkeluarga memang ternanti-nantikan duit gaji pada hari pertama jadi kalau sistem tergendala anak-anak nak makan apa," tambah Ecah Ruzainudin.

hsjp

Perkongsian salah seorang pengguna ketika menerima notis tergendala dari pihak Maybank. — Facebook

Dalam pada itu, Maybank menerusi kenyataannya di Twitter memohon maaf kepada semua pengguna dan berkata, pihaknya sedang berusaha menyelesai dan memulihkan perkhidmatannya yang terjejas.

"Kami memohon maaf kepada semua pelanggan yang terjejas atas kesulitan yang disebabkan oleh gangguan ini.

"Kami menghargai sikap timbang rasa dan kesabaran pelanggan kami dan akan terus memaklumkan kepada mereka secara berkala melalui media sosial rasmi Maybank dan platform M2U," katanya.

Dengan isu terbabit yang dikatakan kerap berulang, diharapkan pihak Maybank segera mengambil langkah penambahbaikan selain turut mempertimbangkan permintaan pengguna yang mahukan platform M2U dikembalikan.

Untuk bantuan dan kemas kini lanjut, pelanggan boleh menghubungi Khidmat Pelanggan Kumpulan Maybank di talian 1-300-88-6688 (Malaysia) atau +60378443696 (Luar Negara) atau mengikuti/berkomunikasi dengan bank melalui platform media sosialnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram