KONTROVERSI melanda pelawak solo kelahiran Singapura, Jocelyn Chia akhirnya mengundang padah apabila dia didakwa telah dibuang keluarganya sendiri.
Dalam ciapan di Twitter pada Isnin, Anthony Chia Whye Liang mengumumkan dia dan isterinya, Shirley tidak mengiktiraf Jocelyn sebagai anak lagi sehingga mereka meninggal dunia.
"Perbuatannya menunjukkan saya gagal membesarkan dia menjadi manusia yang lebih baik untuk masyarakat.
"Masyarakat berhak dapat lebih baik daripada ini," katanya.
Ciapan di laman Twitter berhubung dakwaan Jocelyn Chia telah dibuang keluarganya.
Pada Ahad lalu, Jocelyn sekali lagi muncul dengan isu hangat apabila mempersendakan tindakan Malaysia berhubung aksi biadab kumpulan muzik, The 1975, ketika membuat persembahan di Litar Antarabangsa Sepang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menganggap ia sebagai salah satu tindakan yang hanya memberi populariti kepada individu terbabit, Jocelyn menggesa Malaysia lebih tenang dalam membuat keputusan.
Namun, timbul pula beberapa dakwaan mengatakan ciapan bapanya itu hanyalah satu rekaan semata-mata bagi meredakan kemarahan ramai.
Warganet di laman media turut mempertikaikan kewujudan akaun Twitter tersebut yang dikatakan palsu dan tidak dimiliki mana-mana pihak.
"Nampak sangat Jocelyn sengaja buat akaun palsu, nak elak daripada terus dikecam, satu cubaan yang baik," dakwaan Fakhrul998.
"Ini kali pertama aku tengok bapa buang anak secara terang-terangan, siap bagi tahu semua orang dekat Twitter, bijak Jocelyn Chia ni cuba nak main-mainkan orang Malaysia," dakwa EurophiaJane.
"Lawak apa ni, haritu sengaja cetus kontroversi pertikaikan isu The 1975, sekarang buat akaun palsu pula memang dahaga perhatian agaknya dia ni, dah sendu nak cari publisiti pula," jelas Baihura Udin.
Namun, kesahihan berita itu masih belum dapat dipastikan mana-mana pihak setakat ini.
Pada masa sama, ramai juga yang hairan apabila pelawak itu juga masih belum membuat sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut, sedangkan selama ini Jocelyn cukup lantang terutamanya berhubung kontroversi lawak beliau berkaitan MH370 sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram