[VIDEO] Calon Parti Muda TikTok famous diungkit pernah cetus kontroversi hina OKU


  • Politik
  • Ahad, 23 Jul 2023

Iswan pernah didakwa mencetuskan kontrovesi menghina OKU pada dua tahun lalu. — Twitter/Muda

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada mengumumkan 10 lagi calon yang akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Penambahan tersebut menjadikan parti itu mempunyai 20 calon secara keseluruhan untuk bertanding pada PRN di enam negeri.

Namun apa yang menarik perhatian warga maya adalah salah seorang daripada calonnya iaitu pempengaruh media sosial, Iswan Ishak yang bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Repah, Negeri Sembilan.

Hal ini kerana, Iswan yang turut dikenali sebagai 'DakAyam' dalam kalangan warga TiKTok pernah didakwa mencetuskan kontrovesi menghina Orang Kurang Upaya (OKU) pada dua tahun lalu.

Dalam video yang ditularkan semula di akaun Twitter @amer7211, memaparkan Iswan bersama seorang lagi rakannya berlakon sebagai OKU semata-mata mahu mendapatkan parkir khas OKU di sebuah pusat beli-belah popular di Kuala Lumpur.

Difahamkan, selepas video berkenaan mendapat kecaman ramai termasuk Datuk Ras Adiba yang juga seorang Ahli Dewan Negara (Wakil OKU) pada ketika itu, Iswan memuat naik status video permohonan maaf.

Namun, permohonan maafnya itu seperti sia-sia apabila warga maya mula menggunakan video lama tersebut untuk dijadikan modal politik pada ketika ini.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz meminta orang ramai agar memberi peluang kepada Iswan dan tidak menghukum calon tersebut berdasarkan video itu.

Untuk makluman, kami sudah pun rancang agar semua calon MUDA dan pimpinan tertinggi MUDA jalani 'disability sensitisation training'.

"Semua ada masa silam mereka dan yang paling utama adalah kesediaan untuk belajar.

"Iswan sudah pun memohon maaf secara terbuka dan bersedia untuk menjalani latihan.

"Isu berkaitan OKU juga adalah isu yang ingin Iswan perjuangkan di Negeri Sembilan," ciapnya pada Sabtu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Ogos sebagai hari mengundi PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram