Keluarga Orang Asli terima pampasan RM1.41 juta kes anak hilang, meninggal dunia di hutan


Keadaan dua pelajar Orang Asli ditemukan lemah selepas hilang selama 47 hari di hutan pada Oktober 2015.

ENAM keluarga pelajar Orang Asli yang terlibat dalam insiden kehilangan anak mereka selama 47 hari pada lapan tahun lalu, akhirnya menerima pembelaan apabila kerajaan bersetuju membayar pampasan sebanyak RM1.41 juta.

Persetujuan itu dicapai selepas hampir sedekad kes itu berlaku apabila tujuh pelajar sekolah berasrama di SK Tohoi di Gua Musang melarikan diri dari asrama ke hutan berhampiran kerana bimbang dihukum pada Ogos 2015.

Selepas hampir 50 hari operasi mencari dan menyelamat dilakukan, hanya Norieen Yaakob yang ketika itu berusia 11 tahun dan Miksudiar Aluj berusia 12 (pada ketika itu) ditemukan hidup di tebing Sungai Perias pada 19 Oktober tahun yang sama.

Namun lima lagi kanak-kanak meninggal dunia termasuk adik Noireen, Haikal selain Ika Ayel, Juvina David, Linda Rosli dan Sasa Sobrie.

Susulan tragedi itu, enam keluarga pelajar berkenaan bertindak menyaman kerajaan pada 2018 atas faktor kecuaian.

Orang Asli 2

Dua pelajar yang terselamat bersama peguam mereka, Gurdial Singh Nijhar.

Menurut peguam Siti Kasim, pampasan RM1.41 juta dipersetujui selepas perbincangan antara wakil kerajaan dan peguam keluarga berkenaan sebelum perbicaraan kes itu bermula yang dijadualkan pada 27 Julai ini.

Siti yang sepatutnya menjadi saksi pertama perbicaraan itu, berkata, persetujuan itu termasuk kos guaman sebanyak RM60,000 selain RM160,000 daripada syarikat insurans.

"Kita sudah menghabiskan banyak masa dan wang untuk mencapai peringkat ini tetapi saya bersyukur kepada pasukan peguam dan pakar yang akhirnya dapat membantu keluarga ini mendapat pembelaan.

"Insiden ini menyebabkan trauma kepada kedua-dua pelajar yang terselamat dan keluarga yang terlibat," katanya kepada The Star pada Isnin.

Siti berkata, wang pampasan RM1.41 juta itu akan dibahagi sama rata dalam kalangan keluarga pelajar terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram