[VIDEO] Siti Kassim dakwa terima ancaman bunuh, temui objek seakan bom bawah kereta


  • Tular
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Objek dipercayai bom yang didakwa dipasang di bahagian bawah kereta Siti Kasim (kanan).

AKTIVIS sosial, Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim dipercayai berdepan ancaman terhadap keselamatan nyawanya selepas mendakwa menemui sebuah objek seperti bom di bawah kereta miliknya.

Difahamkan, keberadaan objek tersebut disedari berada di bahagian bawah keretanya semasa dia menghantar kenderaan itu ke pusat servis di Jalan Maarof, Bangsar pada waktu tengah hari Jumaat.

Menurut Siti Kasim, dia pada awalnya menghantar kenderaannya itu ke bengkel untuk diselenggara kerana mahu melakukan perjalanan ke Kelantan bagi membantu menguruskan isu dihadapi Orang Asli di negeri tersebut.

"Saya diberitahu pemilik bengkel berkenaan (keberadaan objek tersebut) dan ditanya apa sudah berlaku kepada kereta saya. Saya kemudian melihat gambar yang dihantar kepada saya dan sangat terkejut," katanya menerusi perkongsian video secara langsung di Facebooknya pada Jumaat.

Dalam video tersebut, objek yang dipasang di bawah tayar kanan belakang kereta itu dipaparkan terdiri daripada dua botol plastik yang turut dilengkapi dengan wayar.

Susulan daripada, sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di lokasi bagi menjalankan siasatan.

Kawasan berhampiran pusat servis tersebut juga ditutup kira-kira 100 meter daripada diakses oleh orang awam.

Difahamkan, turut berada di lokasi kejadian adalah Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram