Penemuan bom di kereta Siti Kasim disyaki cubaan bunuh, polis panggil 9 saksi 


  • 112
  • Isnin, 24 Jul 2023

Bahan letupan IED yang ditemui di bawah kereta Siti Kasim (kanan).

SIASATAN berhubung kes penemuan bom jenis bahan letupan termampat (IED) di bahagian bawah kereta peguam, Siti Kasim masih diteruskan dengan polis memanggil sembilan saksi setakat ini.

“Polis telah memanggil sembilan saksi untuk merekodkan keterangan mereka. Rakaman CCTV (kamera litar tertutup juga telah diperolehi.

"Kami sedang meneliti setiap rakaman CCTV dari tempat yang dimaklumkan mangsa kepada kami dan siasatan masih diteruskan," kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain kepada media melalui teks pesanan ringkas pada Isnin.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata bahawa kes tersebut disyaki sebagai cubaan membunuh.

“Penemuan bom itu menunjukkan ia adalah jenayah serius dan ancaman itu sama seperti cubaan membunuh,” katanya kepada Harian Metro.

Pada 21 Julai lalu, Siti Kasim yang juga seorang aktivis menemui bahan letupan tersebut di bawah keretanya ketika ia sedang diselenggara di sebuah bengkel di Bangsar, Selangor.

Susulan daripada itu, skuad bom polis digerakkan untuk mengeluarkan bahan letupan itu dengan selamat.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor memaklumkan objek letupan berkenaan akan dihantar bagi dinilai dengan lebih lanjut. — The Star/Justin Zack

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram