Polis sahkan objek ditemui bawah kereta Siti Kasim adalah bom IED


  • 112
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Tangkap layar video objek dipercayai bom yang diletakkan di bawah kereta Siti Kasim.

POLIS mengesahkan bahawa objek yang ditemui di bawah kereta milik aktivis sosial, Siti Zabedah Kasim adalah sebuah bom dipercayai jenis bahan letupan termampat (IED).

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pengesahan itu dibuat selepas Unit Pemusnah Bom (UPB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan ujian letupan ke atas objek terbabit.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya buat masa ini masih belum dapat mengesahkan sama ada bahan letupan itu masih aktif atau tidak.

"Bahan letupan ini akan diserahkan kepada pakar untuk dianalisis sebelum kesimpulan lebih terperinci dapat diberikan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

WhatsApp Image 2023-07-21 at 5.58.30 PM

Siti Kasim turut membuat video siaran langsung di Facebooknya mengenai insiden tersebut.

Majoriti sebelum itu melaporkan, aktivis berkenaan yang lebih dikenali sebagai Siti Kasim dipercayai berdepan ancaman terhadap keselamatan nyawanya selepas mendakwa menemui sebuah objek seperti bom di bawah kereta miliknya.

Difahamkan, keberadaan objek tersebut disedari berada di bahagian bawah keretanya semasa dia menghantar kenderaan itu ke pusat servis di Jalan Maarof, Bangsar pada waktu tengah hari Jumaat.

Menurut Siti Kasim yang juga seorang peguam, dia pada awalnya menghantar kenderaannya ke bengkel untuk diselenggara kerana mahu melakukan perjalanan ke Kelantan bagi membantu menguruskan isu dihadapi Orang Asli di negeri tersebut.

Dalam pada itu, Amihizam berkata, siasatan masih sedang dijalankan dengan pihaknya akan mengambil keterangan lanjut terhadap beberapa saksi berhubung insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram