Cuepacs tidak adil, gaji pekerja lama perlu diberi kenaikan seiring lantikan baharu, dakwa penganalisis ekonomi


  • Massa
  • Khamis, 20 Jul 2023

Cuepacs pada Selasa mencadangkan penetapan gaji minimum penjawat awam bagi lantikan baharu sebanyak RM1,800. — Gambar hiasan

PENGANALISIS ekonomi menganggap Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mengemukakan cadangan mengenai gaji minimum penjawat awam bagi lantikan baharu ditetapkan kepada RM1,800 adalah perkara tidak adil.

Terdahulu, cadangan itu dimaklumkan Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi kunjungan hormat beliau di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya pada Selasa.

Antara perkara yang dibangkitkan ialah sistem saraan baharu untuk penjawat awam memandangkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang sedang diguna pakai telah dilaksana sejak 1 November 2002.

Susulan perkara itu, Ahli Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Muhamad Zharif Luqman Hashim berkata, situasi tersebut bukan sahaja bersifat berat sebelah malah boleh menjerumus kepada kegiatan rusuhan dalam kalangan pekerja veteran.

nanan

Ahli Ekonomi (EU-ERA), Muhammad Zharif Luqman Hashim mengulas lanjut berhubung isu gaji minimum penjawat awam bagi lantikan baharu. — Facebook

Beliau menggesa agar pihak terbabit mengkaji semula cadangan berkaitan kenaikan gaji tersebut dengan setiap pekerja tidak kira lama ataupun baharu perlu diberikan hak sama rata.

"Kalau kita lihat daripada sudut sama rata, memang Cuepacs tidak adil kepada pekerja lama yang mungkin sudah berkhidmat lebih lima hingga 10 tahun tetapi gajinya hampir sama dengan lantikan baharu.

"Kepentingan orang lama tidak boleh dikecualikan dalam isu ini dengan mereka juga memiliki kelebihan dari segi pengalaman dan jawatan yang lebih tinggi.

"Saya cadangkan kalau nak naikkan gaji, biar sama rata dengan pekerja yang sudah melebihi tempoh 10 tahun misalnya boleh diberikan kenaikan yang lebih selesa buat mereka berbanding hanya lantikan baharu," katanya kepada Majoriti.

Ketika ditanya mengenai cadangan Cuepacs yang terlampau memfokuskan kepada golongan lantikan baharu, Zharif Luqman menganggap situasi tersebut mungkin sebagai salah satu strategi pihak terbabit untuk mensasarkan generasi muda sebagai tenaga kerja di sektor awam pada masa akan datang.

Tidak menolak sebarang usaha yang dilakukan, beliau walau bagaimanapun menegaskan bahawa kerajaan mungkin akan berdepan dengan isu mogok ataupun rusuhan dalam kalangan pekerja yang terkesan dengan perkara itu.

"Sekiranya ia berterusan dilaksanakan, pesara kerajaan mahupun pekerja veteran khususnya akan mengambil langkah tegas dengan merusuh ataupun bersara lebih awal dari tempoh yang sepatutnya.

"Perkara itu bukan sahaja merugikan, malah boleh menjejaskan perkhidmatan di sektor awam yang mana akan mengalami ketandusan pekerja berpengalaman secara tidak langsung memberi kesan kepada sektor swasta," jelasnya.

Dalam pada itu, Cuepacs juga menyentuh beberapa perkara berkaitan pembangunan kerjaya dalam perkhidmatan awam seperti memendekkan tempoh kenaikan pangkat secara berasaskan masa, laluan kerjaya sehingga gred DG56 kepada pengetua sekolah menengah dan mewujudkan jawatan warden asrama yang bukan dalam kalangan pendidik.

Turut dicadangkan ialah kerajaan meningkatkan kadar kenaikan gaji tahunan dan imbuhan tetap khidmat awam masing-masing sebanyak RM100. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram