[VIDEO] Gaduh 'next level', 2 wanita 'berperang besar' sampai lompat, kena rempuh kereta


  • Benua
  • Khamis, 08 Jun 2023

Tangkap layar seorang penunggang basikal wanita berpaut atas sebuah kenderaan di il2 Katong, Singapura baru-baru ini.

SEORANG penunggang basikal dan pemandu kereta ditahan polis selepas terbabit dalam pertengkaran di sebuah jalan raya berhampiran pusat beli-belah il2 Katong, Singapura pada Isnin.

Dalam satu video berdurasi 39 saat yang tular di Facebook @BehChiaLor menunjukkan penunggang basikal wanita berkenaan terlebih dahulu menghalang sebuah kereta berwarna kelabu di laluan terbabit.

Laluan bertukar sesak selepas kedua-duanya enggan berganjak dari jalan tersebut yang sekali gus mengundang kemarahan pemandu lain apabila membunyikan hon tanpa henti ketika kejadian.

Namun, situasi kian meruncing sebaik wanita berkenaan bertindak melompat dan meniarap atas cermin hadapan kenderaan itu sebaik dia dirempuh si pemandu.

Kekal berpaut di bahagian hadapan kereta tersebut, si pemandu terus memandu laju di kawasan berkenaan dan dilihat menuju ke arah pusat beli belah i12 Katong.

Menurut saksi kejadian, insiden itu tercetus selepas kedua-dua individu terbabit saling berbalah dan bertengkar lebih lima minit di tempat kejadian.

Sementara itu,seorang pemilik kedai di pusat beli belah berkenaan menjelaskan wanita tersebut berjaya diturunkan daripada kenderaan itu selepas beberapa kali dipujuk.

Belum ada sebarang kenyataan berhubung kes itu, namun pihak polis kini difahamkan sedang menjalankan siasatan terhadap kedua-dua individu berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram