[VIDEO] AJK parti politik antara 2 maut kereta bertembung lori di Jalan Gua Musang-Jeli


  • 112
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Dua beranak maut manakala seorang cedera selepas sebuah kereta merempuh sebuah lori yang membawa muatan kayu di di kilometer 37, Jalan Gua Musang - Jeli, Gua Musang, Kelantan pada Khamis.

MALANG tidak berbau apabila dua beranak maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta dipandu ayah mereka bertembung dengan sebuah lori di kilometer 37, Jalan Gua Musang-Jeli, Kelantan pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, mangsa, Mohd Zuki Mohamed, 55, bekerja sebagai pemandu ambulans dan anaknya, Muhammad Hasbullah Mohd Zuki, 15, maut di lokasi kejadian yang berlaku pada pukul 6.15 petang itu akibat cedera parah.

Menurutnya, kejadian berlaku semasa mangsa dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala ke Jeli.

"Setibanya di lokasi kejadian yang mempunyai keadaan jalan sedikit selekoh, kereta dipandu mangsa dipercayai telah masuk ke laluan lori yang membawa muatan kayu itu dan bertembung.

"Bagaimanapun pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Choon Foo berkata, seorang lagi anak mangsa iaitu Muhamad Huzaifah, 18, mengalami kecederaan di bahagian dada dibawa ke Hospital Gua Musang, Kelantan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Katanya, jenazah Mohd Zuki yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Kuala Krai dan anaknya itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

"Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh menghubungi balai polis berhampiran atau di talian 09-9121222," katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram