KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa ada tangan ghaib yang menginginkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ditangkap pada pukul 3 pagi dengan niat ingin memalukan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.
Beliau menerusi satu video di Facebook miliknya pada Rabu turut mempertikai alasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang memaklumkan ahli politik berkenaan tidak dapat dihubungi seterusnya menjurus kepada penangkapan tersebut adalah tidak logik.
Menurutnya, seorang Menteri Besar pastinya mempunyai seorang pengawal peribadi yang juga seorang anggota polis dan mengetahui gerak-geri pimpinan negeri itu.
"Tidakkah sesuatu yang amat aneh sekali bila polis sendiri mengatakan mereka tidak dapat menghubungi Muhammad Sanusi?.
"(Polis) boleh tanya terus kepada pengawal peribadi di mana Muhammad Sanusi pada bila-bila masa," katanya.
Dalam pada itu, Hamzah mengingatkan semua pihak bahawa kes sama pernah berlaku melibatkan seorang pemimpin besar negara yang disabit kesalahan atas salah guna kuasa dan dipenjarakan kerana mengarahkan polis untuk kepentingan peribadi.
Tangkap layar video Hamzah di Facebook pada Rabu.
Katanya perkara tersebut tidak seperti berulang kembali kerana penyalahgunaan kuasa adalah sesuatu yang tidak boleh dibenarkan sama sekali oleh pemimpin tertinggi negara.
"Saya tidak menuduh, tapi oleh kerana perkara ini boleh berlaku dan pernah berlaku, dan tak mustahil ia boleh berlaku sekali lagi.
"Saya amat kesal bila mendengar rakyat mula mempersoal apakah ada agensi-agensi kerajaan tertentu yang telah disalahgunakan oleh pemimpin-pemimpin tertentu.
"Yang penting, jangan ada double standard. Kalau yang ini salah, yang lain juga salah. Jangan sesekali gunakan kuasa anda semata-mata nak tunjukkan kuasa yang ada di tangan untuk menangkap atau menakut-nakutkan pimpinan PN," katanya.
Media pada Selasa melaporkan Muhammad Sanusi ditahan pada jam 3 pagi di sebuah hotel di Mont Kiara, Dutamas, Kuala Lumpur oleh sepasukan polis dari USJT dan Bahagian Gengsterism (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Beliau kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang untuk pertuduhan dua kes di bawah Akta Hasutan.
Muhammad Sanusi juga bakal berdepan satu lagi kes yang dilaporkan pada 14 Julai lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram